Saturday, 24 September 2011

Seni Terapi Pertumbuhan



EDDY dan Jenny berbangga dengan hasil lukisan anaknya.


Bagi mereka, kecacatan bukan penghalang untuk mencapai apa yang diimpikan kerana segelintir daripada mereka telah membuktikan kecemerlangan dalam pelbagai bidang akademik mahupun kokurikulum.
Melihatkan kepentingan perkembangan pertumbuhan kanak-kanak down sindrom dan OKU di negara ini, Festival Muzik, Seni dan Gaya 2011 (MASiF 2011) yang berlangsung sempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini, telah menjangkaui sempadan dengan memberi peluang buat artis-artis autistik mempamerkan karya masing-masing.
Kecacatan bukan penghalang
Dalam pameran diberi nama Fusion of Passion' yang diadakan bermula 15 hingga 25 September 2011 di Galeri Petronas (KLCC) itu, S3 bertemu dengan salah seorang artis tersebut, Tan Seng Kit, 22.
Melihat keadaan fizikal beliau, Seng Kit kelihatan normal tetapi sebenarnya dia merupakan insan istimewa yang berbakat besar.
Dalam bidang seni, setiap karya yang dihasilkan mampu menyampaikan perasaan pelukis tersebut.
Begitu juga dengan karya Bird Watching yang dihasilkannya, menggunakan medium cat akrilik di atas kanvas.
Karya yang dihasilkan itu kelihatan menarik berdasarkan susun atur gambaran burung dan pemilihan warna yang terang.
Ibunya, Jenny Tan, 55, berkata, beliau menyedari bakat yang dimiliki anaknya sejak berusia tiga tahun.
"Orang istimewa seperti Seng Kit tidak suka bercakap, sebab itu mereka melukis untuk meluahkan perasaan mereka kerana tiada kebolehan untuk berkomunikasi.
"Selepas saya lihat yang dia berminat dengan aktiviti melukis, saya pun menyarankan Seng Kit untuk mengikuti kelas kesenian.
"Lama-kelamaan, dia semakin berbakat dan sering mendapat pujian daripada guru lukisan kerana potensi dia semakin memuaskan," jelasnya.
Katanya, golongan seperti anaknya itu perlu diberikan pendedahan agar mereka boleh berdikari.
"Saya berterima kasih kepada pihak penganjur MASiFv 2011 kerana memberi peluang kepada anak saya menonjolkan bakat yang dimilikinya.
"Selain itu, pada pendapat saya golongan seperti Seng Kit perlu diberi pendedahan seperti ini agar mereka lebih yakin dengan diri mereka sendiri," ujarnya.
Bermula awal tahun 2007, Seng Kit semakin serius dalam penghasilan karya-karya lukisan dalam kategori beliau.
Malah pada tahun yang sama, beliau banyak menyertai pertandingan melukis yang dianjurkan di dalam negara.
Sehingga kini, beliau telah menyertai hampir 20 pertandingan melukis dan pernah mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Seni Artlympic di Balai Seni Lukis Negara (BSLN).
Anak bongsu daripada tiga beradik itu kebiasaannya mengambil masa selama dua jam untuk menghasilkan sesebuah lukisan, bergantung kepada keinginan melukisnya.
Menurut bapanya, Eddy Tan, 65, ada kalanya Seng Kit boleh menghasilkan dua hingga tiga buah lukisan tetapi ada harinya dia tidak melukis langsung.
"Seng Kit suka melukis gambar burung kerana haiwan tersebut merupakan haiwan kegemarannya.
"Selain itu, dia juga suka melukis gambar-gambar bangunan bersejarah yang mempunyai tarikan reka bentuk yang unik," katanya.
Tambahnya, selepas pulang dari melancong bersama keluarga, Seng Kit akan menghabiskan masanya dengan melukis gambar-gambar berdasarkan apa yang dia lihat.

Ibu Risau Gaya Hidup Menantu


BERTUAH mereka yang ada menantu berilmu, beragama dan berbudi bahasa, ke mana pergi sentiasa dipuji orang.Namun bagi yang sebaliknya, tentu perasaan kecewa tidak dapat dielak, malah rasa malu kepada keluarga, jiran tetangga dan kawan-kawan turut mengganggu fikiran.
Hendak salahkan anak pun tidak kena sebab jodoh pertemuan, semuanya ketentuan Allah.
Inilah persoalan yang bermain di fikiran Mama Yati (bukan nama sebenar) yang sedih dengan sikap anak menantunya yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga urusan rumah tangga diabaikan.
Pertemuan di satu majlis baru-baru ini membolehkan Mama Yati berkongsi rasa terkilan dan sedih dengan sikap anak menantunya itu walaupun nasihat dan teguran telah diberikan.
"Saya sudah muak untuk menegur dan menasihati mereka, tidak ada perubahan, macam itu juga," keluh Mama Yati.
Kita ikuti kisah Mama Yati.
"Anak lelaki saya, Rizal (bukan nama sebenar) berusia awal 30-an telah berkahwin dengan Efa (bukan nama sebenar), seorang pegawai pemasaran sebuah syarikat ternama di ibu kota.
"Perkahwinan empat tahun itu telah dikurniakan seorang anak lelaki berusia 2 tahun, saya jaga sejak lahir hingga kini.
"Memang saya faham tugas seorang pegawai pemasaran, sibuk sepanjang masa termasuk juga anak lelaki saya itu, yang bekerja di sebuah bank.
"Dalam sibuk-sibuk bekerja, saya pasti jika bijak membahagikan masa tentu tidak ada masalah yang timbul. Ini berlainan dengan hidup anak dan menantu saya ini.
"Kami tinggal berdekata, jadi saya tawar diri untuk menjaga cucu saya kerana saya tidak bekerja. Lagipun saya masih sihat untuk berbuat demikian.
"Malangnya, mereka mengambil kesempatan di atas kebaikan saya untuk tidak mengambil berat tentang anak lelaki mereka itu. Semua diletakkan di atas bahu saya walaupun setiap bulan mereka memberi wang untuk perbelanjaan anaknya kepada saya.
"Sejak berkahwin, saya tidak pernah nampak mereka duduk semeja makan bersama setiap kali saya ke rumah mereka, selalunya salah seorang mesti tidak ada.
"Isteri atau suami outstation dan suami atau isteri jumpa klien itu adalah jawapan standard yang selalu diberikan kepada saya. Itu juga saya boleh faham.
"Telah lama saya perhatikan keadaan ini. Sibuknya mereka mengalahkan menteri. Hari bekerja sibuk, hujung minggu sibuk, sehingga hendak bawa anak bersiar-siar sekali skala pun tidak ada masa.
"Malah sejak lahir hingga sekarang mereka langsung tidak tunjuk rasa tanggungjawab terhadap anak kecil itu kerana merasa budak itu selamat dalam penjagaan saya. Memang betul anak mereka selamat. Tapi di mana rasa kasih sayang dan ambil berat mereka terhadap zuriat mereka itu. Sudah banyak kali saya beritahu perkara ini kepada mereka, nasihat dan teguran memang selalu, tetapi tindakan tidak ada.
"Saya pelik juga sebab ibu bapa lain kalau berpisah dengan anak terasa rindu, tapi anak menantu saya ini tidak pula. Kalau saya cakap banyak, kata saya merungut dan ugut nak ambil anak mereka, tapi tak ambil juga sampai sekarang.
"Saya kasihan kepada cucu saya sebab tidak mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada ibu bapa. Budak itu semakin membesar, sampai bila dia harus tinggal dengan saya. Dia perlukan ibu bapanya.
"Baru-baru ini saya telah meluahkan semua perkara yang telah lama saya simpan kepada mereka berdua. Bagaimana kecewanya saya kerana ada anak menantu seperti mereka yang tidak menghargai anak dan tidak pedulikan perkara lain, selain kerja.
"Saya ralat sebab saya tahu mereka hanya pentingkan duit dan kerja. Amal ibadat, solat dan kerja kebajikan entah ke mana. Hubungan dengan jiran dan saudara mara langsung tidak ada.
"Gaya hidup mereka terlalu sosial. Ke sana sini bergaul dengan lelaki, perempuan tanpa batas sebab tugas. Siang malam, pagi petang tidak tahu hendak balik rumah. Pakaian sudah macam orang putih, baju kurung, tudung langsung tidak pandang.
"Saya malu dengan saudara mara apabila mereka asyik bercerita tentang menantu saya yang macam mat salleh celup itu. Macam sudah hilang Melayunya.
"Yang buatkan saya semakin sedih kerana anak saya tidak dapat menjadi ketua keluarga yang baik, mendidik dan membawa isterinya ke jalan Allah.
"Apa guna ada isteri berpelajaran tinggi dan cantik kalau tidak ada iman, budi bahasa dan tidak tahu hormat orang tua serta tidak tahu tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu.
"Orang lain pun kerja juga tetapi tidaklah sampai lupa tanggungjawab dan anak. Bukan saya tidak boleh jaga anak mereka, tapi sampai bila saya kena korban? Mereka perlu tahu tanggungjawab mereka terhadap anak tersebut, sebab itu anak mereka.
"Adik-adik saya marah sebab saya terlalu berlembut dengan mereka, tapi kalau saya berkeras pula, takut mereka akan pergi jauh dari saya.
"Sebagai ibu tentu saya rasa sedih. Tidak tahu di mana silap saya. Pelajaran, didikan agama rasanya cukup saya bagi, tetapi kenapa jadi begitu.
"Saya berdoa agar anak menantu saya itu akan sedar dan kembali ke pangkal jalan. Ini baru anak seorang sudah kalut, bagaimana kalau sudah ramai nanti.
"Saya tidak kisah jaga cucu tapi saya sedih sebab dia tidak dapat kasih sayang daripada ibu dan bapanya yang sibuk mengejar dunia, saham akhirat langsung tidak fikir.
"Semua orang kerja, semua orang sibuk tetapi sebagai manusia, isteri, suami dan ibu bapa, kita mesti ada fokus dalam hidup. Seimbangkan peranan antara kerjaya dan rumah tangga.
"Mentang-mentang saya boleh jaga anak, jangan ambil kesempatan. Fikir juga tentang masa depan anak. Setakat datang bawa mainan, baju mahal dan makanan mewah saja, tidak cukup. Kasih sayang dan kebajikan anak itu penting.
"Wang ringgit juga bukan ukuran dan jaminan membahagiakan anak. Tidak bagi duit pun saya boleh bagi makan cucu saya. Saya harap apa yang saya cakap kepada mereka akan mereka dengar.
"Saya bukan mengungkit tetapi mahu mereka berubah dan menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab. Masih belum terlambat untuk mereka sedar. Kalau boleh saya mahu mereka ambil anak mereka dan jaga sendiri. Bukan saya tidak mahu jaga tapi saya rasa sudah sampai masa mereka berdikari. Pasangan suami isteri lain pun buat macam itu, tidak susahkan orang tua.
"Saya harap mereka faham dan tidak ambil hati. Saya berdoa semoga mereka boleh fikir dan mengubah gaya hidup mereka secara lebih positif. Saya reda dengan apa yang akan mereka lakukan, sebab apa yang saya buat adalah untuk kebaikan mereka.
"Kepada ibu-ibu di luar sana yang mungkin menghadapi masalah seperti saya tapi takut hendak berterus terang dengan anak menantu adalah cara terbaik agar kita tidak terus memendam rasa dengan kerenah anak menantu," Mama Yati berpesan sebelum menamatkan ceritanya.
Itulah kisahnya yang ingin Mama Yati kongsi dengan pembaca. Benar juga katanya, di peringkat awal seorang ibu hanya membantu meringankan beban anak menantu. Tidak sangka pula akhirnya menjadi tanggungjawab.
Buat pasangan suami isteri yang kalut mengejar kemewahan hidup dan mementingkan kerjaya, cubalah membahagikan masa agar rumah tangga terus terpelihara, anak-anak tidak terbiar dan ibu tidak dibebankan dengan tanggungjawab sebagai pengasuh.
Kepada Mama Yati, mudah-mudahan kemelut yang dilaluinya akan segera berlalu. Berdoalah minta diberi kesejahteraan kepada anak menantu dan cucu. Doa seorang ibu, insya-Allah akan dimakbulkan Allah.
Menutup kata, terimalah segala masalah itu dengan rasa tenang, insya-Allah kebahagiaan itu akan menjadi milik kamu.
                            CHEF Bazeli Kasa menunjukkan antara menu istimewa di Restoran Seribu Gantang.

BERKONSEPKAN dapur terbuka, The Regency muncul sebagai satu-satunya hotel di bandar raya Alor Setar, Kedah yang menyajikan juadah dengan menggunakan konsep tersebut di ruang makannya, Restoran Seribu Gantang.
Menerusi konsep itu, para tetamu atau pengunjung yang menikmati aneka sajian di situ dapat melihat sendiri para petugas dapur dan chef di hotel tersebut menyediakan hidangan untuk mereka.
"Cara tersebut bukan sahaja lebih menarik, bahkan membuatkan pengunjung berasa lebih yakin dengan kualiti penyediaan makanan di hotel ini," kata Pengurus Wilayah The Regency, Ibrahim Ishak.
Beliau berkata, sejak dibuka pada 2008, konsep dapur terbuka tersebut menerima pujian dan sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang menjamu selera di situ.
"Sebelum pihak pengurusan The Regency mengambil alih hotel ini, bahagian dapur restoran terletak di tingkat bawah dan ia tertutup.
"Apabila hotel ini diambil alih, kami mahu mewujudkan satu konsep baru yang segar untuk para pengunjung.
"Timbul idea untuk melaksanakan konsep dapur terbuka dan kami gembira kerana sejak konsep ini dilaksanakan, keyakinan pengunjung terhadap kebersihan makanan yang disediakan di sini semakin tinggi," katanya kepada S2.
Menurutnya, harga bufet untuk makan tengah hari dan malam di hotel itu adalah RM30++ dan menu makanan kampung disediakan pada waktu tengah hari, manakala makanan cita rasa Mediterranean pula ditawarkan kepada pengunjung pada waktu malam.
"Menu makanan ditukar setiap hari. Selain masakan kampung dan Mediterranean, kami juga menawarkan stimbot dan lain-lain hidangan yang lazat kepada pengunjung," katanya.
Dalam pada itu, Ibrahim menambah, harga bilik yang ditawarkan bermula pada RM197.20 untuk bilik superior hingga RM880++ ke atas bagi bilik deluxe suite.
"Setiap kali musim perayaan dan cuti sekolah, kesemua bilik di sini habis ditempah. Jadi, pengunjung perlu membuat tempahan awal jika ingin menginap di sini," jelasnya.
Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman menjamu selera di dapur terbuka dan menginap di The Regency, anda boleh menghubungi talian 04-7335917.

Persandingan Shahiza Mencetus Kelainan



Pasangan mempelai Shahiza Ghazi dan Budi Kurniawan sama anggun sama segak.


Persandingan bertema semakin popular di kalangan pasangan pengantin hari ini bagi menjadikan majlis sekali seumur hidup itu berlangsung dengan penuh gemilang dan bermakna.
Antara tema atau konsep persandingan yang kerap jadi pilihan ialah seperti persandingan dalam taman, ala-Inggeris, ala-kampung dan sebagainya.
Berbeza pula bagi pasangan pengantin baru, Shahiza Ghazi, 25, dan Budi Kurniawan Selamat, 28, yang memilih rimbunan bambu atau buluh sebagai tema utama majlis persandingan mereka.
Tarikh 10 September lalu menyaksikan pasangan ini disatukan dalam upacara pernikahan yang penuh adat-istiadat sebelum disusuli dengan majlis persandingan yang gilang-gemilang berlangsung di sebuah hotel terkenal di Kuala Lumpur.
Menggunakan persalinan berwarna hijau serindit rekaan Artilia Amani, pasangan mempelai ini kelihatan anggun dan segak, cocok dengan gelaran ‘raja sehari’.
Rona hijau jadi pilihan untuk persalinan ahli keluarga mempelai. Lebih menarik apabila fabrik yang digunakan dikatakan mengandungi 30 peratus bahan daripada buluh yang ditempah khas dari China dan Australia.
Bukan itu saja cendera hati untuk tetamu berupa tuala muka juga berasaskan fabrik daripada buluh.
Dalam pada itu, dewan persandingan dihias indah dengan pohon-pohon buluh melatari hampir di setiap penjuru dewan dari ruang laluan masuk hingga ke pelamin.
Diserikan lagi dengan kehadiran jambangan-jambangan bunga segar berteraskan rona putih dan hijau membuatkan jemputan yang hadir bagaikan melangkah ke dalam taman bunga yang redup dan menyamankan.
Idea bagi mengangkat pohon buluh sebagai tema utama persandingan datang dari perempuan sendiri yang kemudian dibantu abangnya, Ashran Ghazi, yang bertindak sebagai perunding perkahwinan mereka berdua.
Menurut pengantin perempuan, idea persandingan ala taman buluh tercetus ketika dia tinggal di Australia kerana melanjutkan pelajaran.
“Di sana ada pelbagai jenis pokok buluh. Melihatkan kehijauan dan kedamaian yang ada pada buluh tersebut mendorong saya untuk mengabadikan buluh sebagai saksi kisah percintaan kami,’’ ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas anak bongsu kepada pasangan Datuk Ghazi Sheik Ramli dan Datin Shahrizan Md Noor ini lagi, konsep ini juga bagi memberi kelainan.
“Lagipun konsep ini juga merupakan gabungan klasik dan moden serta menampakkan kelainan yang luar biasa,’’ ujarnya lagi yang berkenalan dengan suaminya semasa sama-sama menuntut di luar negara.
Menceritakan persiapan perkahwinannya, Shahiza berkata, dia sekeluarga sepakat mencari kelengkapan untuk di gunakan pada majlis persandingan itu.
“Memanglah bukan tugas mudah untuk menyediakan barangan ini, tetapi inilah kelainan yang cuba ditonjolkan,’’ ujarnya.
Ceritanya lagi, sebahagian kelengkapan untuk persandingan termasuk pohon-pohon buluh yang dijadikan hiasan dewan turut diimport khas dari China dan Australia.
Sementara itu, suaminya, Budi Kurniawan, menyifatkan impian isterinya untuk bersanding berkonsepkan buluh adalah suatu perkara yang sukar dilaksanakan.
Namun menurutnya, demi impian isteri yang tertanam sejak belajar lagi, dia sanggup melakukan apa sahaja dan akhirnya tercapai walaupun pada mulanya pelbagai dugaan berlaku.
“Alhamdulillah akhirnya hajat kami termakbul dan berpuas hati atas usaha yang dilakukan selama ini,” katanya yang menginginkan tiga cahaya mata.
Bagi pasangan mempelai, pasti majlis persandingan ini menjadi detik paling bermakna dalam hidup mereka.

Kedai Bundle Bawa Rezeki Tukang Kasut


Rasli Ishak tekun membaiki kasut para pelanggan dari jenis jenama yang bermutu di kedainya.

KEDAI bundle, satu istilah yang agak eksklusif di rantau ini dan ia mempunyai pengikutnya tersendiri.
Kedai berkenaan kebiasaannya menjual barangan terpakai yang jarang didapati dan berjenama seperti kemeja-T dan kasut.
Antara barangan bundle yang paling popular ialah kasut. Kebiasaannya ia barangan yang berjenama, edisi eksklusif, dan dijual pada harga yang murah berbanding harga asal. Namun kadang-kadang kasut seumpama datang dalam saiz yang tertentu sahaja.
Di sinilah perkhidmatan Rasli Ishak mendapat permintaan ramai.
Lelaki berusia 60 tahun ini yang juga dikenali sebagai Pak Rasli, adalah tukang kasut di Pasar Jerteh, Besut, Terengganu dengan sejumlah pelanggan setia.
Pelanggan akan membayar jumlah yang minimum kepada beliau untuk membaiki bahagian kasut yang koyak dan berlubang dan beliau tidak sedikit pun berasa kecewa.
Selepas kerja membaiki itu siap, kasut berkenaan akan kelihatan seolah-olah kasut baru.
Kerjaya warisan bapa
Rasli memulakan kerjanya sebagai tukang kasut di bandar Jerteh sejak tahun 1971. Ketika ditemui di kedainya yang berukuran 3 x 4 meter di Blok B, Pasar Tambahan Jerteh, Pak Rasli berkata, kemahiran menjahit barangan kulit terutama kasut dipelajari daripada ayahnya Ishak Awang, 85, yang juga seorang pereka kasut di Istana Nilam Puri, Kelantan pada satu ketika dahulu.
"Pada mulanya susah bagi saya untuk mengikuti kemahiran menjahit barangan kulit ini kerana ia memerlukan kesabaran yang tinggi, namun dorongan dan tunjuk ajar ayah membolehkan saya akhirnya mencari rezeki dengan kerja ini," katanya.
Menurut Rasli yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan, dengan bermodalkan RM800, beliau memulakan perniagaan membaiki kasut dan barangan kulit selepas beberapa tahun berguru dengan bapanya.
Pada awal kedainya dibuka, Rasli terpaksa menumpang untuk mencari tempat berniaga di celah-celah ruang pasar lama yang tidak selesa dan kurang mendapat sambutan pelanggan.
Beliau mendapat ruang khas bagi membuka sebuah kedai menjahit kasut di bandar Jerteh beberapa tahun setelah memulakan perniagaannya di bandar itu.
"Ayah berikan saya peralatan untuk membaiki kasut iaitu 'tapak tiga'. Tapak tiga yang ayah beri masih saya guna sehingga hari ini," katanya.
Berkat usaha tanpa mengenal lelah dalam bidang yang diceburinya, Rasli mampu membesarkan lapan anak sehinggalah mereka kini dewasa.
Sejak menularnya trend membeli barangan bundle di daerah Besut, beliau berkata rezekinya juga semakin bertambah.
"Sekarang ramai yang suka membeli kasut berjenama daripada penjual bundle dan mereka akan pasti mencari saya untuk menjahit kasut maupun beg-beg kulit yang dibeli sekiranya terdapat yang terkoyak sedikit.
Mementingkan kualiti kerja
"Saya mementingkan kualiti kerja dan terpaksa berhati-hati apabila menjahit kerana kadang-kadang kasut yang dibawa pelanggan adalah berjenama dan ada sesetengah menjualnya kembali setelah dibaiki dengan harga yang lebih tinggi berbanding yang dibeli," jelasnya lagi.
Begitulah juga dengan beg kulit yang dibawa untuk dibaiki kadang-kadang bernilai tinggi yang antaranya berharga RM500 hingga RM1,000 setiap satu.
Rasli dan isterinya, Rohani Sidek, 48, seorang penjahit pakaian turut kesal kerana tidak ramai anak muda yang ingin menceburi bidang menjahit kasut sepertinya.
Namun begitu, di sebalik kejayaan yang dicipta, Rasli juga mengakui seperti perniagaan lain beliau juga tidak lekang dengan masalah terutama ketika tiba musim tengkujuh.
"Setiap hujung tahun apabila tiba musim banjir perniagaan saya turut merosot kerana pada musim sebegini ramai tidak gemar memakai kasut malah lebih gemar memakai selipar," jelasnya.
Katanya, beliau melihat generasi muda kini semakin kurang dan tidak berminat membaiki kasut.
"Kalau industri tradisional lain seperti pengeluaran makanan, membuat perabot termasuk bahan kraf tangan telah diambil alih oleh mesin rekaan teknologi moden tetapi kerjaya menjahit kasut masih dilakukan secara lama tidak mampu ditukar ganti seperti yang saya lakukan ini," katanya.
Rasli bersyukur kerana dengan tiadanya alatan dan mesin moden menjahit kasut, kerjaya menjahit kasut secara manual ini terus hidup dan tidak terjejas.

Menjejak Buaya Sungai Kinabatangan



MARK Rampangajouw menunjukkan sesuatu ketika membawa wakil media melihat habitat buaya di Sungai Kinabatangan berhampiran Danau Girang.


APA pendapat anda mengenai buaya? Sebagai orang biasa mungkin kita beranggapan reptilia itu adalah haiwan yang ganas dan kerjanya hanya menyerang manusia.
Bagi pengkaji reptilia itu pula, buaya dikatakan sebagai haiwan yang pemalu, lebih banyak menyendiri dan menjauhkan diri daripada manusia.
Dikatakan, ia hanya akan menyerang sekiranya tempat tinggalnya diceroboh. Ia dilakukan dalam usaha untuk mempertahankan diri daripada keadaan merbahaya.
Kesempatan meninjau hibatat monyet Belanda atau Proboscis atas tajaan dana Yayasan Sime Darby (YSD) di Danau Girang, Kinabatangan, Sabah baru-baru ini turut, memberikan pengalaman baru apabila peluang itu turut digunakan untuk menjejak habitat buaya yang dikatakan ganas dan merbahaya itu.
Sungai Kinabatangan, sepanjang 560 kilometer itu merupakan sungai kedua terpanjang di negara ini. Ia mengalir dari kawasan pergunungan di barat daya Sabah ke Laut Sulu di sebelah timur.
Keterujaan untuk melihat habitat haiwan liar itu secara dekat tertunai apabila Pengurus Pusat Penyelidikan Danau Girang, Mark Rampangajouw, bersetuju untuk membawa wakil media melihat dan menjejak haiwan pemangsa berkenaan dengan menaiki bot pada awal pagi.
Mark hanya bersenjatakan parang di sepanjang ekspedisi menjejak habitat haiwan itu selama dua jam, di sungai itu, sekitar Danau Girang.
Dapat dilihat air sungai yang mengalir tenang, luas dan lebar, kedalaman yang cukup, airnya berwarna kuning likat sehinggakan tidak nampak apa yang ada di dalam air.
Di sepanjang perjalanan hanya kelihatan kelibat bongkah-bongkah kayu mati berwarna hitam yang hanyut bersama arus. Sesekali otak berimaginasi, apakah bongkah-bongkah itu mata buaya yang dicari-cari merenung tajam ke arah bot.
Namun apabila semakin dihampiri, hanya bongkah kayu yang terlihat dan nafas lega dihembuskan.
Setelah hampir setengah jam di dalam bot, hati rasa sudah tidak sabar. Panas semakin mencengkam, peluh semakin membasahi baju namun kelibat buaya yang mahu ‘bersantai’ di tebing masih tidak kelihatan.
Namun perjalanan tetap diteruskan. Sesekali Mark memberhenti atau memperlahankan bot dan enjin pengangkutan itu dalam usaha untuk tidak menakutkan haiwan berkenaan ketika berada di suak dan kuala di sepanjang Danau Girang.
Tiba-tiba muncul pertanyaan: “En. Mark, mana buayanya?”
‘‘Sabar,” katanya. Sebentar kemudian dia menunjukkan kepada buih-buih yang berada di hadapan bot kami.
‘‘Lihat itu buih-buih yang berada di hadapan kita. Cuba lihat bentuknya yang memanjang dan menghilang kemudian ada lagi. Itulah buaya.
‘‘Sebenarnya haiwan ini mengekori kita dari tadi tapi dia malu nak menonjolkan diri,” jelasnya dengan nada bergurau.
Apabila ditanya adakah buaya itu berada berdekatan, jawabnya: “Sebenarnya ia berada di bawah bot ini.” Dia memberi arahan agar sesiapa tidak menjulur atau memasukkan tangan ke dalam air sungai.
Kata-katanya itu sedikit-sebanyak mendebarkan hati.
Beberapa minit kemudian, Mark menunjukkan sesuatu di atas tebing di darat. Kelihatan seekor buaya sedang bersantai. Hanya sekilas, sebelum ia hilang ke dalam sungai. Amat pantas. Nasib baik pergerakannya dapat dirakam oleh lensa kamera.
Setelah memberhentikan bot seketika, Mark meneruskan perjalanan. Katanya, di Danau Girang, seekor buaya telah ditandakan dalam usaha untuk melakukan kajian oleh Pusat Penyelidikan Danau Girang.
‘‘Setakat ini terdapat 80 ekor buaya yang dikesan di sepanjang laluan ini dengan empat atau lima ekor daripadanya bersaiz 15 kaki panjang dengan seberat 500 kilogram.
‘‘Menurut pengkaji buaya tradisional, sungai yang kecil mengandungi banyak buaya manakala sungai yang besar kurang buaya.
“Buaya keluar pada pukul 7.45 hingga pukul 9.30 pagi berjemur sambil menunggu makanan seperti monyet yang jatuh dari pokok mahupun burung-burung yang berlegar di tebing,” jelasnya yang memberitahu buaya di situ memakan ikan dan udang yang banyak terdapat di dalam sungai.
Apabila ditanya mengenai kes-kes yang melibatkan serangan buaya di sungai itu, Mark berkata, serangan buaya terhadap manusia melibatkan kes mangsa yang ditarik ke dalam sungai untuk dilemaskan dan bukannya dimakan.
‘‘Kebanyakan mangsa ialah penangkap ikan dan penanam kelapa sawit yang tidak dijangka turun ke kawasan suak atau sarang buaya, diserang dan kemudian dilemaskan.
“Di Sungai Tekala (anak sungai Kinabatangan) sendiri dua orang telah menjadi mangsa dilemaskan buaya beberapa tahun lalu.
“Kita difahamkam dari Disember 2006 sehingga sekarang direkodkan enam kematian melibatkan serangan buaya terhadap pekerja kelapa sawit,” jelasnya sambil menambah sungai yang semakin mengecil dan cetek terdapat buaya berbanding sungai yang dalam.
Menurut Mark, anak buaya adalah sebesar 12 inci, malah semakin besar buaya itu semakin sukar untuk ia dilihat. Katanya, yang paling ganas adalah buaya betina apabila telurnya sedang menetas.
Biasanya manusia hanya dapat melihat kepala dan mata buaya sahaja sedangkan separuh daripada ekor dan badannya tenggelam di dalam air.
Dalam pada itu Mark menambah, kajian yang akan dijalankan terhadap buaya di sungai berkenaan antara lain ialah memantau pergerakan haiwan itu, lihat apa yang terkandung di dalam perutnya untuk mengetahui apa yang dimakan dan dietnya, kenapa dan apa yang dilakukannya untuk memburu.
‘‘Kita juga akan mengkaji kenapa berlaku banyak serangan buaya. Apa sebabnya? Adakah kerana ia disebabkan pencemaran sungai itu yang menyebabkan tiada makanan? Kita juga mengkaji struktur tingkah laku yang akan dikaitkan dengan kejadian serangan. Daripada sini kita boleh jalankan usaha sama dengan Perhilitan untuk mengenal pasti dan mencari permasalahan buaya ini,” ujarnya.
Jelas Mark, penyelidikan itu akan dimulakan di Kinabatangan dahulu sebelum mekanisme yang sama dilakukan kepada sungai-sungai besar lain di Sabah.
Hasil kajian itu dapat dimanfaatkan kepada semua pihak khususnya bagi memahami sifat dan tingkah laku haiwan itu dan mengapa terdapat banyak serangan buaya di sesuatu tempat.
‘‘Pihak Pusat Penyelidikan Danau Girang telah menerima seorang penuntut dari Universiti Cardiff, United Kingdom bernama Lukeevans, yang mahu menjalankan kajian terhadap haiwan ini bagi menamatkan pengajiannya dalam Ijazah falsafah dalam Bioscience,” katanya apabila bot kami selamat kembali ke jeti Danau Girang.

Taxi Pertaruhkan Funky



TAXI optimis kumpulan mereka mampu mengharungi arus muzik tanah air.


Kumpulan yang terdiri daripada empat anak muda kelahiran Johor itu kini bernaung di bawah label Warner Music.
Walaupun kumpulan ini baru sahaja ditubuhkan, namun keserasian di antara mereka jelas dapat dilihat ketika di temuramahS3 baru-baru ini.
Menurut vokalis kumpulan berkenaan, Muhammad Ar-Rashidin Tuah, 19, atau lebih dikenali sebagai Cidin, mereka sebenarnya telah mula bermain alat muzik sejak kecil lagi.
"Kami saling mengenali daripada kecil lagi. Cuma sebelum ini, kami tidak jamming bersama.
"Idea untuk menubuhkan kumpulan ini hanya timbul sehari sebelum pertandingan Twisties Bingit.
"Bayangkanlah ketika itu, masa semakin suntuk dan kami pula baru hendak mencari ahli kumpulan dan juga berlatih," katanya.
Namun, berdiri di atas semangat berpasukan, kumpulan yang mendaftarkan diri di saat-saat akhir pertandingan tersebut akhirnya berjaya merangkul gelaran juara.
"Kenangan nyaris tidak dapat mendaftar sebagai peserta akan kami ingat sepanjang hayat kerana jika peluang itu terlepas, kami tidak akan berada di sini," ujarnya merendah diri.
Selain Rashid, Taxi juga 'dihidupkan' oleh dua bersaudara, Sukri Salleh atau mesra dipanggil Amin, 23 (bass) dan Sazuan Salleh, 19 (dram) serta Mohd Edzwan Shah, 23 (gitar).
Lahir dengan album pertama mereka, Langkah Pertama, sememangnya kumpulan ini optimis dapat membina nama yang kukuh dalam industri seni tanah air.
Menurut Edzwan, dia sangat berterima kasih kepada peminatnya kerana tidak putus-putus memberikan sokongan kepada kumpulan mereka.
"Alhamdulillah, kami mendapat reaksi positif daripada peminat melalui lagu Angkubah dan jugaWarna. Malah ada peminat yang tidak sabar-sabar menantikan lagu terbaru kami.
"Jika diberi peluang, kami ingin melebarkan sayap ke negara lain.
"Malah, jika berkesempatan, kami juga ingin berkolaborasi bersama Adira naib juara Akademi Fantasia 8," ujar mereka terus terang.
Selain Angkubah dan juga Warna, album Langkah Pertama turut memuatkan lagu Ku Emosi, Mimpi Semalam termasuk rakaman semula lagu Ghazal Untuk Rabiah.

Najib Garis Empat Pendekatan



Perdana Menteri menggariskan empat pendekatan bagi menjadikan pembangu-nan dalam bidang keusahawanan di negara ini, lebih berjaya dan berdaya maju.

Datuk Seri Najib Razak berkata, empat pendekatan itu ialah memperkenalkan idea-idea baharu yang lebih kreatif, menyuntik daya inovasi dalam perniagaan, penjenamaan yang lebih kuat dan terkenal serta penggunaan laman maya dalam mengembangkan pasaran produk.

Beliau berkata, kaedah baru itu penting kerana pada masa ini, bidang keusahawa-nan di negara ini, belum berjaya sepenuhnya.

“Walaupun begitu, kita tidak seharusnya kecewa kerana bibit-bibit kejayaan sudah pun kita lihat. Apa yang perlu ialah lipat-gandakan lagi usaha untuk berjaya.

“Kita tidak mahu mereka cuma menjadi pengusaha kerdil tetapi kita hendak mereka berkembang pada peringkat serantau dan global yang boleh kita banggakan,” katanya ketika merasmikan Karnival Usahawan Desa 2011 di Putrajaya semalam.

Hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Najib berkata, antara pendekatan atau idea baru yang perlu dilakukan adalah melihat kepada bidang-bidang di mana persaingan terhadap perniagaan jenis itu tidak begitu banyak sehingga menyebabkan margin atau pulangan kepada usahawan terbabit terlalu kecil.

“Jika kita melihat di beberapa kawasan perniagaan, berpuluh-puluh kedai menjual barang yang hampir sama. Ini menyebabkan perniagaan kita tidak membawa kepada keuntungan yang menjadikan perniagaan kita lebih kukuh dan besar.

“Oleh itu, kita mesti melihat, bila sebut keusahawanan, bukan bererti kita pakai terjah. Kita mahu usahawan berkemampuan memilih bidang yang mampan dan berkembang serta memberi peluang yang lebih luas,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, langkah menghubungkan pengusaha kecil, terutama dari luar bandar dengan pasaran yang lebih luas menerusi konsep Kedai Runcit 1Malaysia, yang diterajui oleh Mydin Mohamed Holdings Bhd.

“Usaha itu merupakan idea baru yang dapat memberi keuntungan yang besar kepada usahawan berkenaan,” katanya.

Celcom Tawar Harga Luar Biasa Rendah

Celcom Axiata Bhd akan menawarkan telefon pintar terbaru pada harga yang tinggi diskaunnya sempena kempen I Love Phones Raya yang dilancarkan hari ini hingga 25 September di seluruh negara.

Kempen itu diadakan di Asia City, The Spring Shopping Mall di Kuching, Sarawak dan tempat lain di Semenanjung Malaysia, mulai jam 10 pagi hingga 10 malam.

Pengarahnya bagi Sabah dan Sarawak, Choo Meng Chung berkata, semasa kempen itu, Celcom menawarkan telefon pintar pada harga yang luar biasa rendahnya dengan pakej pascabayar dan jalur lebarnya.

“Dengan menjadikan pelanggan sebagai keutamaan kami, kami ingin membawa telefon pintar dan tawaran peranti tablet yang terbaik kepada mereka melalui liputan rangkaian terluas kami, pakej termampu dan perkhidmatan berkualiti untuk membolehkan mereka sentiasa berhubungan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja pada harga menarik,” katanya.

Pelanggan boleh membeli BlackBerry Torch 9860 dan BlackBerry Bold 9900, masing-masing pada harga RM988 dan RM1,288 apabila mereka membeli pakej Celcom Exec 50.

Samsung Galaxy S II juga boleh didapati pada harga serendah RM1,208 dengan langganan kepada mana-mana pakej Celcom Exec.

Mitsubishi Lancer Pajero Sport VGT

 

Mitsubishi Motors Malaysia (Mitsubishi) berhasrat mencapai peningkatan jualan sebanyak 10 peratus menjadikan keseluruhan jualan kenderaannya 13,000 unit menjelang akhir tahun ini, berbanding 12,000 unit tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tetsuya Oda berkata, sasaran itu didorong pengenalan model kenderaan utiliti sukan (SUV) baru Mitsubishi Pajero Sport VGT yang dilancarkan di pasaran Malaysia, semalam.

Menurutnya, Mitsubishi yakin model baru itu adalah model SUV terbaik di negara ini dan dapat memenuhi permintaan tinggi di pasaran negara.

“Pasaran kenderaan Sport berjaya mencatat kejayaan besar sejak diperkenalkan di Malaysia di mana sehingga kini, ia dimiliki lebih 3,000 pemilik.

“Justeru, kami yakin jualan untuk keseluruhan model Pajero Sport dapat mencapai 200 unit sebulan pada tahun ini, seiring dengan pengenalan model baru Pajero Sport VGT,” katanya semasa pelancaran model itu di Kuala Lumpur.

Oda berkata, pihaknya juga optimis varian baru Pajero Sport itu bakal meluaskan tarikan Pajero Sport kerana menawarkan enjin lebih kuasa yang baru, teknologi terkini dan reka bentuk yang lebih classy dalam model utama 4WD Mitsubishi.

“Selain dilengkapi dengan pengurusan kuasa enjin baru yang merangkumi Variable Geometry Turbo, ia juga mampu mendorong kuasa maksimum sehingga 178 PS dan paras kuasa kilas 350 Nm,” katanya.

Penoreh Seludup Wang RM253,000



MOHD. PUDZI (tengah) menunjukkan wang tunai RM253,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini oleh seorang penoreh getah di Padang Besar, Perlis semalam.


PADANG BESAR - Kastam Perlis merampas wang tunai berjumlah RM253,000 dan menahan seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai cuba menyeludup masuk wang tersebut di Kompleks Imigresen di sini kelmarin.
Pengarah Kastam Perlis, Mohd. Pudzi Man berkata, wang itu disita hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang tiba dari Thailand pada pukul 12.45 tengah hari.
"Wang kertas itu yang ditemui dalam empat bungkusan disorok di bawah tempat duduk penumpang belakang kenderaan pikap terbabit," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Katanya, pemandu berusia 24 tahun itu gagal mengemukakan dokumen berkaitan wang berkenaan selain tidak mengikrarkannya dalam borang Kastam K22.
Lelaki itu yang mengaku bekerja sebagai penoreh getah mendakwa wang tersebut untuk membayar hutangnya di negara ini, kata Mohd. Pudzi.
"Kami sedang menyemak rekod kemasukan individu berkenaan ke negara ini.
Kami juga telah mengambil kenyataan daripada tiga rakyat tempatan yang dipercayai mempunyai kaitan kes itu," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 23(1) dan Sekyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Kes juga disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barang larangan import, katanya.

Bakar Diri Guna Petrol



ANGGOTA polis mengangkat mayat Kim Tan yang hangus selepas membakar dirinya di Projek Perumahan Rakyat Desa Rejang, Kuala Lumpur kelmarin.




KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas yang tertekan dengan masalah kesihatan disyaki bertindak membakar dirinya sendiri menggunakan petrol dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat Desa Rejang di sini kelmarin.
Kejadian tersebut disedari penduduk pada pukul 8.40 selepas terdengar jeritan meminta tolong daripada Sow Kim Tan, 81. Mangsa membakar dirinya di tepi sebuah longkang dekat perumahan tersebut.
Jurucakap polis memberitahu, siasatan di tempat kejadian menemui sebiji botol bersaiz 1.5 liter dipercayai digunakan mangsa untuk mengisi petrol.
“Botol yang turut terbakar itu ditemui berdekatan mayat mangsa. Siasatan awal mendapati mayat mangsa terbakar hampir 80 peratus,” katanya yang mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.
Sementara itu, anak mangsa, Soo Ah Chuan, 51, memberitahu, bapanya bertindak demikian selepas tertekan dengan pelbagai penyakit yang dihidapinya seperti gout, sakit sendi dan kencing manis.
Katanya, bapanya pernah memberitahu yang dia tidak tahan menanggung penyakit itu.
“Sebelum kejadian, bapa ada memberitahu yang dia hendak membeli petrol dengan mengayuh basikal tetapi tidak sangka dia akan bertindak demikian,” ceritanya yang berada di rumah ketika kejadian itu.

Bangsal Jadi Kasino



LALUAN masuk ke Kampung Batak, Relau, George Town yang menjadi tempat 79 kaki judi dicekup dalam serbuan polis semalam.


GEORGE TOWN - Tindakan penjaga tempat perjudian haram yang tertidur ketika bertugas membolehkan polis menyerbu kawasan tersebut sebelum menahan 79 individu yang leka bermain judi di sebuah bangsal di Kampung Batak, Relau di sini semalam.
Selain tangkapan, serbuan pukul 1 pagi itu juga dapat merampas wang RM1,158, tiga dadu, cip, meja, 30 kerusi plastik dan sebuah mesin kira.
Difahamkan, tempat tersebut menjadi tumpuan kaki judi kerana ia dijamin selamat apabila pengawal akan memberi amaran jika tempat itu didatangi pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Supritendan Lai Fah Hin berkata, ketika serbuan, kesemua 57 lelaki dan 22 wanita berusia lingkungan 50 dan 80-an itu sedang asyik bertaruh.
Katanya, bangsal kayu itu pernah diserbu minggu lalu dan dapat menahan 15 individu.
"Siasatan awal mendapati mereka sedang bermain judi 'Tai Sai' dan ada yang minta dibebaskan dengan alasan mereka mempunyai penyakit.
"Kita sebelum ini telah tiga kali gagal membuat serbuan kerana kaki judi mengupah pengawal di kawasan pintu masuk. Pengawal itu bagaimanapun tidak ditahan," katanya yang memberitahu ada kaki judi yang sempat melarikan diri melalui semak.
Kesemua mereka yang ditahan telah dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM1,000 setiap seorang ketika didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau dekat sini semalam mengikut Seksyen Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Menurut beliau, siasatan mendapati mereka menjalankan kegiatan judi jenis 'Tai Sai' dan belangkas.

Kerajaan Bantu AIM Bina Akedemi


NAJIB (kanan) melihat barang-barang pameran selepas merasmikan Menara AIM di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kesediaan kerajaan untuk membantu Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mencari tapak yang sesuai bagi membina akademi latihan badan bukan kerajaan itu.
Katanya, perkara itu bakal diusahakan bersama pihak AIM dan mana-mana kerajaan negeri yang bersedia menyediakan tapak.
“Kerajaan akan membantu dalam penubuhan akademi AIM di satu tempat yang sesuai yang boleh diusahakan pihak AIM bersama kerajaan negeri yang boleh menawarkan tapak,” katanya ketika merasmikan Menara AIM berharga RM40 juta di Bandar Sri Damansara di sini semalam.
Hadir sama Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Amihamzah Ahmad dan Pengarah Urusan AIM, Datuk Zabidah Ismail.
Ujarnya, menjadi harapan beliau dan kerajaan untuk melihat AIM terus dibantu secara berterusan supaya lebih maju dan kukuh pada masa depan.
Beliau turut memuji rekod bayaran balik AIM yang amat cemerlang dengan kadar 99.5 peratus pembayaran oleh para peminjam.
Jelas beliau, rekod bayaran itu jauh lebih baik daripada rekod bayaran Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Genggam Ijazah Pada Usia 74 Tahun



AB. HAMID (kanan) menunjukkan ijazah yang diterimanya kepada Abdul Barit pada majlis Konvokesyen USM ke-44 di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Seorang warga emas berusia 74 tahun membuktikan bahawa umur bukan penghalang kepadanya untuk mencapai kejayaan dalam akademik apabila menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Kemanusiaan pada majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-44 di sini semalam.
Pada majlis itu, Ab. Hamid Yunos yang berasal dari Melaka turut mencatat rekod baharu bagi USM apabila pertama kali menganugerahkan ijazah kepada graduan berusia lebih 70 tahun.
Menurut datuk kepada lima cucu itu, keinginannya untuk belajar adalah kerana tidak mendapat peluang sedemikian ketika usia muda apabila berkhidmat dengan tentera selepas tamat sekolah pada 1954 sehinggalah bersara.
Dia yang menyambung pengajian di USM menerusi Skim Warga Emas tiga tahun lalu secara sepenuh masa juga aktif berpersatuan dan dilantik sebagai penasihat jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes).
“Dua cabaran yang saya hadapi sepanjang pengajian iaitu untuk menguasai bahasa Melayu standard dan mempelajari bahasa Inggeris kerana saya hanya bersekolah aliran Melayu yang berbeza sukatan pelajarannya.
“Mujurlah rakan-rakan sekuliah sudi membantu, di samping para pensyarah yang tidak jemu-jemu memberi galakan,” ujarnya yang bersara daripada perkhidmatan Tentera Darat dengan pangkat Pegawai Waran 1 pada 1980.
Sebelum ini, Ab. Hamid merupakan pelajar diploma di Universiti Malaya, Nilam Puri, Kelantan dalam bidang syariah.
Seorang lagi graduan warga emas yang menerima ijazah pada majlis sama ialah Abdul Barit Abdul Kader, 56, yang bertugas sebagai Pegawai Sumber Manusia di Penang Port Sdn. Bhd.
Bapa kepada enam anak dan empat cucu itu menamatkan pengajian dalam bidang pengajian Sains Sosial.

Ali Rustam Berang PBT Tidak Tegas


MOHD. ALI memeriksa sebuah premis yang dipercayai menjalankan kegiatan judi semasa turun padang melakukan serbuan di Bukit Beruang, Melaka semalam.

MELAKA - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam semalam berang ekoran kelemahan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membanteras kegiatan judi di kafe siber yang semakin berleluasa di negeri ini.
Beliau berkata, mesyuarat Exco kerajaan negeri dua minggu lalu telah membuat keputusan tegas agar tiada kompaun dikenakan bagi kesalahan mesin judi haram.
Malah, katanya, PBT diminta merampas peralatan mesin judi, menyita premis, mendakwa pemilik dan memusnahkan mesih judi bagi mengelak ia merebak ke tempat lain.
Bagaimanapun, katanya, keputusan itu tidak dipatuhi PBT kerana masih mengeluarkan kompaun atau denda terhadap pemilik premis malah turut memberi tempoh 14 hari bagi pemulangan peralatan.
"Saya tidak berpuas hati dengan cara PBT bertindak dalam menangani kegiatan judi haram malah kecewa kerana pihak berkenaan tidak faham prosedur yang kerajaan negeri sudah putuskan.
"Sepatutnya tidak boleh berlembut lagi. PBT macam tidak faham dengan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri bagi menangani kegiatan itu," katanya selepas melakukan serbuan di sebuah premis judi di Taman Bunga Bukit Beruang di sini.
Bagaimanapun, ketika serbuan dilakukan, kedua-dua permis berkenaan tidak beroperasi.
Serbuan itu diadakan selepas media baru-baru ini melaporkan kebimbangan penduduk di negeri ini berikutan kewujudan pusat judi di kafe siber yang semakin berleluasa.

Penyeludup Rokok RM3.5 Juta Tumpas



MOHD. Nasir (kanan) menunjukkan sebahagian daripada rokok yang dirampas dalam tiga serbuan pada sidang akhbar di Melaka semalam.


MELAKA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri Melaka berjaya mematahkan tiga cubaan menyeludup rokok ke negara ini apabila merampas 39,182 karton rokok putih dan keretek bernilai RM3.5 juta termasuk cukai dalam tiga serbuan baru-baru ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Nasir Said berkata, dalam kejadian terbaharu pukul 3.15 petang kelmarin, pihaknya telah menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Kinrara, Puchong, Selangor.
Menurutnya, rumah tersebut telah dijadikan stor untuk menyimpan 6,682 karton rokok putih serta keretek pelbagai jenama yang tidak mempunyai label cukai bernilai RM125,536 melibatkan cukai sebanyak RM563,359.
"Turut ditahan seorang lelaki berusia 30-an yang sedang leka menguruskan beberapa kotak rokok di rumah teres dua tingkat yang disewa itu.
"Lelaki tersebut direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Mohd. Nasir berkata, sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama iaitu didenda tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, dalam satu lagi serbuan Selasa lalu, pihaknya berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok yang beroperasi di Johor Bahru apabila merampas sebuah van membawa 3,000 karton rokok bernilai RM66,000 melibatkan cukai sebanyak RM306,960.
"Pemandunya berjaya melarikan diri ketika van ditahan di Kilometer 9.2, Lebuh Raya Utara-Selatan di Tanjung Kupang, Johor," katanya.
Menurutnya, dalam rampasan pada 16 Jun lalu pula anggotanya telah berjaya merampas dua buah lori yang membawa 29,500 karton rokok bernilai RM547,5000 melibatkan nilai cukai sebanyak RM1,910,130 di kawasan Rehat dan Rawat Ayer Keroh, Melaka.

Dua Beradik Suspek Bom Golok



LOKASI kejadian berdekatan Hotel Merlin yang menjadi sasaran bom pada 16 September lalu.


NARATHIWAT (Selatan Thailand) - Polis Thailand mengesahkan dua beradik bertanggungjawab memasang dan meletupkan bom di daerah Sungai Golok dalam kejadian pada 16 September lalu.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Chaitath Intanuchit (gambar) berkata, suspek tersebut ialah Suhaidi Rubaku, 26, dan abangnya, Roslan, 27.
Menurutnya, imej Suhaidi yang memiliki dua kerakyatan, Thailand dan Malaysia berjaya dirakam oleh sebuah kamera litar tertutup (CCTV) di Hotel Merlin yang turut terjejas akibat pengeboman itu.
"Selepas mendapatkan maklumat daripada 35 orang saksi dan rakaman CCTV, Suhaidi merupakan individu yang sangat dikehendaki polis manakala abangnya dipercayai turut bersubahat.
"Rakaman CCTV yang diperoleh jelas menunjukkan Suhaidi melintas di hadapan Hotel Merlin berulang kali dalam waktu yang singkat, sebelum meletakkan bom di sebelah hotel," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini kelmarin.
Chaitath menjelaskan pihaknya telah memaklumkan penglibatan Suhaidi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) beberapa hari lalu kerana dia dipercayai berada di Malaysia ekoran memiliki MyKad tetapi menggunakan nama lain.

KEJADIAN letupan bom di Golok baru-baru ini menyebabkan pihak tentera Thailand memperketatkan kawalan di sempadan negara itu semalam.


Tambahnya, kedua-dua suspek berasal dari Mukim Peluru, Sungai Padi di sini merupakan rakan kepada tiga lelaki yang ditahan polis Kelantan pada 14 Disember 2009 di Pasir Mas kerana terlibat menghasilkan bahan letupan termasuk bom.
Jelas beliau, kedua-dua suspek yang merupakan pengedar dadah antarabangsa diisytiharkan sebagai penjenayah berbahaya memandangkan mereka turut terlibat dalam pengeboman lain di daerah Golok pada 21 Ogos dan 6 September 2009.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang 16 September lalu, empat rakyat Malaysia maut manakala 14 lagi cedera dalam tiga letupan bom di kawasan hiburan Jalan Charoen Khet di sempadan Thailand.
Chaitath berkata, pengeboman tersebut merupakan tindak balas Suhaidi dan abangnya selepas pihak berkuasa Thailand merampas pil kuda, wang tunai, senjata api dan emas milik mereka dua hari sebelum itu yang berjumlah kira-kira RM800,000.

Raudah Bawa Belia Ke Masjid



KUMPULAN Al-Mawlid akan bertemu belia dalam program jelajah Raudhah.


STESEN televisyen TV9 melalui jenama Raudhah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan masjid sebagai hab komuniti bagi para remaja dan masyarakat setempat.
Penjenamaan Raudhah yang membariskan program-program berunsur Islamik sepertiTanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah, Halaqah, Semanis Kurma, Usrah dan Safiyya kini memperkasakan lagi penjenamaannya melalui penganjuran acara padang dengan namaRaudhah di Raudhah di Hatiku.
Dibawakan oleh Lembaga Zakat Selangor dan dimeriahkan lagi oleh kehadiran HotFM ini merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial stesen untuk menarik minat remaja mendekatkan diri mereka dengan masjid serta mengenepikan persepsi yang masjid ini hanyalah untuk solat sahaja.
Sesungguhnya kebanyakan masjid di Malaysia ini begitu aktif dan sentiasa mengadakan aktiviti-aktiviti menarik buat jemaah mereka serta masyarakat setempat.
Lokasi pertama Raudhah di Hatiku ialah Masjid Darul Ehsan, SS15 Subang Jaya pada hari Sabtu (hari ini), 24 September 2011 bermula seawal 9 pagi hingga 6 petang dengan pelbagai aktiviti menarik sesuai untuk setiap lapisan umur.
Aktiviti-aktiviti yang dirancang adalah seperti berikut:
* Rumah Terbuka dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, di mana pihak masjid akan menumbangkan seekor lembu untuk dijamu kepada tetamu Pertandingan muazzin muda.
* Uji bakat pengulas berita dan penyampai radio.
* Pencarian pengacara Safiyya serta tutorial menggayakan tudung.
* Pertandingan memasak.
* Demo mandi dan kafan jenazah.
* Pameran daripada Agensi Anti-Dadah Kebangsaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, acara ini turut dimeriahkan oleh tokoh Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz memberi ceramah berkaitan Titian Sirat serta barisan selebriti TV9 seperti Syed Mohd Khair, Zuhairah Mustafa Al-Husin, Irma Hasmie, Liyana Hisham (pengacara Safiyyah), artis Catriona Ross serta kumpulan nasyid Al-Mawlid.
Lebih menarik pengunjung dapat menyertai rakaman rancangan Tanyalah Ustaz yang dikendalikan oleh Ustaz Halim Din yang membawa tajuk 'Agihan Zakat'. Sementara itu, Ustazah Asni Abu Mansor juga akan hadir bagi sesi rakaman Tanyalah Ustazah mengupas tentang Bagaimana Wanita Berperanan.
Kedua-dua rancangan ini akan disiarkan pada bulan November nanti.
Kepada mereka yang tidak berkesempatan untuk memeriahkan suasana raudhah Di Hatiku di Masjid Darul Ehsan, SS15 Subang Jaya, bolehlah menjelajah di tiga lokasi seterusnya iaitu :
n Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, 1 Oktober 2011 (Sabtu).
n Masjid Al-Falah, Jalan USJ 9, Subang Jaya, 22 Oktober 2011 (Sabtu).
n Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail, 29 Oktober 2011 (Sabtu).
Untuk maklumat lanjut sila layari laman web www.tv9.com.my.

Facebook Tarik Minat Syarikat Rakaman Muzik



MARK ZUCKERBERG mengumumkan perkhidmatan terbaharu Timeline pada persidangan Facebook f8 di San Francisco, California kelmarin.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Syarikat rakaman dan media meletakkan harapan baharu untuk memajukan perniagaan mereka ekoran penambahan kolum Ticker pada profil pengguna oleh Facebook.
Kolum Ticker memaparkan kemas kini aktiviti pengguna Facebook dalam pelbagai aplikasi media di laman jaringan sosial itu seperti langganan muzik dan filem.
Kolum itu menjadi medan pasaran baharu untuk syarikat rakaman dan media AS mempromosikan produk mereka.
Menerusi Ticker, syarikat rakaman boleh mengesan sama ada aplikasi yang mereka tawarkan popular di kalangan pengguna Facebook atau sebaliknya.
Apabila pengguna mengklik kolum Ticker kenalan mereka, pengguna terbabit secara automatik ditawarkan untuk mencuba secara percuma pelbagai perkhidmatan dalam talian seperti pelan muzik Spotify dan Rhapsody yang digunakan kenalan mereka.
Selepas tempoh tawaran percuma itu tamat, pengguna yang berminat boleh terus melanggan perkhidmatan yang ditawarkan dengan membayar yuran bulanan.
Ketua Eksekutif firma langganan muzik Deezer, Axel Dauchez berkata, penyertaan Deezer dalam Facebook membolehkan syarikat itu memasuki pasaran lebih 130 negara di luar AS dalam tempoh cuma beberapa minggu.
Menurutnya, syarikat itu kini memiliki sekitar 1.4 juta pengguna berbayar di Perancis dan Britain dengan Facebook menawarkan pasaran yang jauh lebih besar.
Kolum Ticker itu dilancarkan oleh Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg kelmarin untuk memudahkan 800 juta penggunanya berkongsi muzik dan media lain dengan kenalan mereka.
Zuckerberg turut memperkenalkan perubahan besar pada profil pengguna Facebook yang dinamakan TimeLine.
Profil baharu itu boleh digunakan oleh pengguna untuk mendokumenkan dan memaparkan kehidupan mereka dalam bentuk buku skrap dalam talian.
"Ia menyimpan semua kisah anda (pengguna), semua aplikasi anda sekali gus satu kaedah ekspresi diri yang baharu," kata Zuckerberg ketika berucap pada persidangan tahunan pembina rangkaian laman sosial di bandar raya San Francisco, AS.
"Saya menggelarkan profil baharu ini sebagai 'kisah hidup anda'" tambahnya.

Neutrino Lebih Laju Daripada Cahaya



GAMBAR menunjukkan bangunan Pusat Penyelidikan Nuklear Eropah pada 30 Mac 2010.




PARIS, Perancis - Sekumpulan ahli fizik melaporkan kelmarin bahawa sejenis partikel yang yang dinamakan neutrino boleh bergerak lebih laju daripada cahaya.
Partikel itu lebih kecil daripada sebutir atom.
Jika penemuan tersebut disahkan, ia boleh mencabar teori relativiti yang diperkenalkan oleh saintis legenda, mendiang Albert Einstein.
Teori berkenaan menyatakan tiada unsur yang dapat mengatasi kelajuan cahaya di alam semesta ini.
Kumpulan ahli fizik terbabit memberitahu, uji kaji yang dilakukan di Pusat Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN), Switzerland dan sebuah makmal di Itali menunjukkan partikel itu bergerak selaju 300,006 kilometer sesaat.
Pergerakan partikel itu adalah sekitar enam km/s lebih laju daripada kelajuan cahaya.
"Keputusan ini amat mengejutkan," kata seorang jurucakap eksperimen berkenaan yang dikenali sebagai OPERA, Antonio Ereditato.
"Kami mahu mengukur kelajuan neutrino tetapi kami tidak menjangkakan akan membuat penemuan luar biasa seperti ini," tambahnya.

Remaja Hamil Semasa Umur 16 Tahun Hilang Hak Penjagaan Anak


JOSHUA RENDON



JACKSONVILLE, Amerika Syarikat (AS) - Dua remaja yang muncul dalam musim pertama siri realiti televisyen terbitan saluran MTV yang berjudul 16 and Pregnant hilang hak penjagaan ke atas anak mereka kepada pentadbiran negeri Arkansas.
Kedua-dua remaja itu muncul dalam program yang membicarakan masalah mengenai kehamilan semasa berumur 16 tahun.
Pasangan remaja berkenaan turut berdepan dakwaan mengambil dadah dan membahayakan kanak-kanak.
Polis kelmarin menyatakan, pihak berkuasa menemui banyak najis manusia, lalat dan berenga di dalam rumah mereka ketika menggeledah kediaman tersebut.
Ekoran penemuan itu, Joshua Rendon dan teman wanitanya, Ebony Jackson-Rendon, yang kedua-duanya berusia 19 tahun, didakwa pada Selasa lepas setelah polis mendapatkan waran menggeledah untuk memasuki rumah mereka di Pangkalan Udara Little Rock.
Jabatan Perkhidmatan Masyarakat turut merampas hak penjagaan anak pasangan berkenan yang berusia dua tahun. Anak kecil itu lahir semasa siri realiti itu disiarkan.
Pegawai polis Jacksonville, Kapten Kenny Boyd berkata, beberapa anggota polis menemui ganja sintetik di dalam rumah mereka.
Menurutnya, Rendon merupakan seorang anggota tentera udara AS.

Caesars Bina Pusat Peranginan Mewah Di China



LAKARAN artis menunjukkan pusat peranginan Caesars PalaceLongmu Bay, Hainan, China.


LAS VEGAS - Pengendali kasino, Caesars Entertainment Corp. merancang untuk membina sebuah pusat peranginan mewah bukan perjudian dengan kapasiti 1,000 buah bilik iaitu Caesars Palace Longmu Bay di pulau Hainan, China.
Dalam pengumumannya di Amerika Syarikat (AS) dan majlis pecah tanah di China, Caesars yang merupakan syarikat kasino terbesar di dunia menyatakan bahawa ia merupakan hartanah pertamanya di rantau Asia Pasifik yang pantas berkembang.
"Ini merupakan langkah pertama untuk membangunkan jenama Caesars di China dan India," kata Ketua Pegawai Eksekutif Caesars, Gary Loveman yang membandingkan lokasi itu dengan Hawaii.
Loveman juga berharap hartanah itu mampu untuk menarik minat pelanggan di China menyertai program kesetiaan Caesars.
Pusat peranginan bernilai AS$470 juta (RM1.48 bilion) itu merupakan pelaburan terbesar pertama yang dibuat oleh pihak Caesars Global Life, divisyen bukan perjudian Caesars. Divisyen itu ditubuhkan pada Mei lalu untuk memberi lesen, francais dan menguruskan hotel-hotel di luar AS.
Loveman menyatakan sasarannya adalah untuk membangunkan 25 hotel dan pusat peranginan di China dalam tempoh lima tahun akan datang.
Caesars Palace Longmu Bay direka oleh firma PTW Architects yang berpangkalan di Australia.
Hartanah itu melibatkan dua lokasi hiburan, padang golf 36 lubang, marina, spa, pusat beli-belah dan restoran-restoran.
Ia dijangka dibuka pada tahun 2014.

Hamparan Rumput Di Atas Jalan Raya



SEJUMLAH penduduk bermain di atas hamparan rumput di atas sebatang jalan raya di Vienna, Austria. - Reuters


VIENNA - Sejumlah penduduk duduk dan bermain di atas sebatang jalan raya yang diletakkan hamparan rumput di bandar raya ini kelmarin.
Hamparan rumput itu diletakkan oleh beberapa kumpulan alam sekitar bagi meraikan Hari Tanpa Kereta Sedunia yang diraikan pada setiap tahun.
Para aktivis alam sekitar kemudian bergambar dengan membawa pelbagai sepanduk yang menentang kesesakan jalan raya di bandar raya ini.
Mereka menyekat sebatang jalan raya yang sibuk dengan meletakkan hantaran rumput tersebut di sebatang jalan raya yang sibuk di bandar raya ini.

Tiga Dekad Bersama Rumah Api




KETIKA sibuk mengendalikan set penjana elektrik bersama lima pekerja lain di Rumah Api Permatang Sedepa, Sujak Sukimi, 57, dikejutkan dengan jeritan meminta tolong.
Suara-suara ketakutan itu datang dari arah rumah api lama yang terletak kira-kira 200 meter (m) dari situ. Teriakan yang bertalu-talu itu membuatkan Sujak dan petugas laut lain terpaku.
Perasaan ketakutan dan cemas semakin menguasai apabila mereka melihat air tangki yang terletak di puncak menara melimpah keluar. Benar, lokasi antara dua buah rumah api kelihatan dekat. Hakikatnya, untuk menyeberangi samudera Selat Melaka pada jarak yang pendek itu bukan mudah. Apatah lagi jika tiada kenderaan waima bot kecil sekali pun ketika itu.
"Kami hanya dapat perhati dari jauh dan minta mereka bertenang, kami juga tertanya-tanya apa sebenarnya yang sedang berlaku, nak kata laut bergelora tidak juga," kata Sujak mengimbau peristiwa lampau.
Persoalan kepada punca tragedi yang berlaku pada 26 Disember 2004 lalu akhirnya terjawab apabila mereka menonton siaran berita di kaca TV pada malam itu.
"Alangkah terkejutnya kami apabila mendapat tahu tsunami sedang melanda negara dan apa yang berlaku petang itu sebenarnya adalah impak kepada gegaran kuat dari perut bumi laut.
"Kami merasa getarannya, namun Alhamdulillah, kami dan orang-orang di rumah api selamat tapi terus terang kami katakan, kejadian itu membuatkan kami kecut perut," imbau Sujak sambil memandang tepat ke arah rumah api lama yang berusia 137 tahun itu tetapi masih gah di situ.
Rumah api lama itu yang terletak 23 batu nautika dari Pelabuhan Klang kini bakal menjadi salah satu khazanah berharga negara.
Momen itu kata anak kelahiran Labis, Johor itu sudah lama berlalu. Namun Sujak memberitahu, dia tidak berupaya melontar pengalaman itu jauh-jauh meskipun dia akan bersara sebagai penjaga rumah api pada 10 Disember ini.

KERJAYA Sujak sebagai penjaga rumah api bermula apabila dia terbaca iklan jawatan kosong di akhbar Utusan Malaysia berbelas-belas tahun lalu.


Barangkali seperti satu kebetulan, bekas penjaga enjin di Felda Lurah Bilut, Bentong itu adalah individu terakhir digelar penjaga rumah api setelah jawatan itu dipindakan. Kesemua yang bertugas di rumah api selepas ini akan dikenali sebagai Pembantu Laut.
Cara pengendalian
"Saya akan terpisah dengan laut selepas 35 tahun berkhidmat sebagai penjaga di dua buah rumah api berasingan," ujarnya yang pernah ditugaskan menjaga Rumah Api Pulau Angsa, Selangor sebelum berpindah ke Rumah Api Permatang Sedepa atau lebih dikenali sebagai Rumah Api One Fathom Bank (OFB) pada tahun 1987.
Penulis larut mendengar cerita-cerita serius dan lucu Sujak sepanjang dia menjawat jawatan yang sangat jarang diperkatakan orang. Namun, apakah yang mendorong lelaki itu mahu menjadi penjaga rumah api?
"Suatu hari saya terbaca iklan di akhbarUtusan Malaysia yang menawarkan jawatan penjaga rumah api, disebabkan saya ada kelulusan dalam mengendalikan set penjana, saya mohon dan berjaya," katanya ketika kami berada di puncak yang paling tinggi di Rumah Api OFB setinggi 43 meter yang siap pada tahun 1999.


PEMBANTU laut sentiasa melaporkan perkembangan di rumah api dari semasa ke semasa.



Pernah bertugas di rumah api lama sebelum rumah api baru siap, Sujak memberitahu, cara pengendaliannya mempunyai jurang yang sangat besar. Di rumah api lama, kesemua peralatan berfungsi secara manual.
"Pagi-pagi kita akan matikan set penjana selepas 12 jam, lepas itu kita akan periksa enjin, bateri dan minyak hitam. Hari-hari kita akan buat laporan bertulis atau menggunakan pita VHS," katanya.
Selari dengan kecanggihan teknologi, rumah api yang baharu berfungsi secara automatik.
Jika dulu, seramai enam anggota Jabatan Laut Malaysia bertugas dan menetap selama sebulan lamanya di rumah api. Namun sejak tahun 1999, masanya dipendekkan kepada 10 hari dan hanya dua petugas saja ditempatkan.
Kesan cuaca
Namun, penceritaan tentang praktis pada era dahulu membuatkan kami ketawa terbahak-bahak. "Sama ada awak percaya atau tidak, dulu setiap hari kami kena kira berapa biji kapal yang lalu siang dan malam. Biasanya, dalam sehari, purata 250 kapal akan melalui Selat Melaka," ujarnya.

RUMAH Api One Fathom Bank penting bagi ahli pelayaran, jurumudi termasuk nakhoda kapal yang melalui Selat Melaka belayar dan mendarat dengan selamat.


Di rumah api lama, kesan bahang akibat cuaca panas sangat ketara. Impak daripada itu, mereka semua terpaksa bekerja dan tidur dalam keadaan tidak berpakaian.
"Memang lucu kalau dikenangkan kisah waktu dulu, kita pun tiada bilik, suasana tempat tidur kami pun macam wad hospital, bila hujan kita terpaksa beralih-alih tempat.
"Ada lagi perkara lucu, semasa kami sedang memasak, tiba-tiba satu batu besar jatuh dan masuk dalam kuali dan sebab itu kami rasa rumah api baharu perlu dibina," ujarnya.
Sujak mengaku, sepanjang hampir tiga dekad, dia telah mengaut pelbagai pengalaman unik bertugas di tengah-tengah lautan yang tidak dihuni oleh manusia.
Katanya, beliau kerap didatangi oleh orang asing yang tidak diketahui latar belakangnya.
"Di rumah api ini biasanya orang datang minta bantuan air minuman. Sama ada dia baik atau jahat, lanun atau nelayan, itu menjadi tanggungjawab kita untuk bantu," ujar Sujak.
Tidakkah wujud perasaan gentar kalau-kalau mereka dirompak? Balas lelaki itu : "Hal itu tak pernah berlaku dan kita sebenarnya lagi suka orang datang sebab kita jarang jumpa orang, mereka pun kadang-kadang bagi kita makanan."


RUMAH api dilengkapi dengan pelbagai prasarana seperti bilik rehat untuk para tetamu.



Sujak galak bercerita. Katanya, untuk mengaktifkan suasana kadangkala mereka berkomunikasi dengan kapal-kapal dagang dari Indonesia atau dari negara lain. Lelaki yang masih tegap dan sihat tubuh badan juga pernah 'ditegur' oleh helikopter yang berlegar-legar di udara.
Kesempatan berada di puncak tertinggi, membolehkan penulis dan jurufoto, Amin Farij Hasan menikmati panorama laut yang terbentang luas. Namun, mata kami terfokus pada serpihan kapal tenggelam yang pasti ada cerita di sebaliknya.
"Dulu ada kapal yang bawa kira-kira 80 orang penumpang karam dan kemudian beberapa tahun lepas itu, sebuah kapal dari Sri Lanka yang bawa kayu-kayan hampir nak langgar rumah api kita.
"Tapi atas kebijaksanaan nakhodanya, mereka mengarah kapal dan melanggar kapal karam di situ, kiranya ada dua peristiwa di lokasi yang sama," katanya yang juga pernah menyelamatkan orang hanyut suatu ketika dulu.
Berada selama sebulan dan kemudian 10 hari dalam satu-satu masa di Rumah Api OFB memungkinkan pelbagai risiko perlu dihadapi. Barangkali yang mana satu penyeludup atau yang mana satu kapal haram mudah ditelahnya.
Sujak mengiyakan kenyataan itu. Bukan untuk membangga diri tetapi lelaki ini memberitahu, anak-anak kapal luar atau tempatan sangat menghormati petugas di rumah api.
Pelbagai infrastruktur

UNTUK sampai ke puncak tertinggi Rumah Api One Fanthom Bank (OFB), para pekerja perlu mendaki tangga berputar setinggi 43 meter.


"Selain penting sebagai panduan kepada kapal untuk elak kapal terkandas di kawasan air cetek atau batu karang, kita juga banyak berkorban, kita tinggalkan keluarga dan terpinggir dari dunia luar," ujarnya.
Bagaimanakah caranya mereka menguruskan makan minum? "Di tempat lama, kami ada tukang masak tapi sekarang semua masak sendiri. Jadi, kita akan bawa bekalan bahan mentah dari darat dan ikan pula, kita pancing saja di sini."
Rumah api di situ jauh lebih selesa. Pelbagai infrastruktur tersedia seperti tujuh buah bilik, surau, bilik mandi termasuk dapur dan ruang tamu.
Ketika menyusur balik ke Pelabuhan Klang menaiki Kapal Al-Debaran yang dipandu oleh Kapten Isman Sibon, Sujak ditanya tentang kejadian mistik yang sering diperkatakan di rumah api.
Daripada riak wajahnya dia seperti menyembunyikan sesuatu. Lelaki ini hanya berkata: "Yang dahsyat tak dalah, cuma dapat panggilan misteri berkali-kali. Namun yang penting kerja di sini, mulut jangan celupar."
Sujak dan samudera sememangnya sudah akrab. Sayangnya, anak-anaknya seperti menjauhkan diri dengan dunia lautan.
"Tak mengapalah, bagi saya, hanya angin laut saja dapat menenangkan jiwa dan relung hati saya," ujarnya.

Kejayaan 280,000 Sahabat AIM




USIA 25 tahun jika dipadankan kepada manusia tentulah boleh diibaratkan pemuda dan pemudi yang bakal mencorak masa depan negara dengan kelebihan yang ada pada diri. Ia juga dianggap waktu yang paling sesuai untuk mereka mendirikan rumah tangga jika sudah bertemu pasangan hidup masing-masing.
Namun, dalam konteks usia penubuhan sesebuah badan yang dibina semata-mata untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, sudah pasti ia membawa pengertian berbeza.
Hakikatnya, institusi itu sudah tentu akan dinilai melalui aspek kejayaan yang dicapai sejak mula pertubuhan itu diwujudkan dan kesan positif yang diterima khalayak.
Itulah yang turut dialami oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang lahir dengan niat murni bagi membantu menangani isu-isu kemiskinan di negara ini sejak tahun 1987.
Kini, selepas lebih dua dekad penubuhannya, AIM ternyata berjaya meninggalkan legasi yang cukup bermakna buat 280,000 orang wanita yang telah bernaung di bawah badan tersebut melalui saluran pinjaman mikro hingga berjaya mengubah taraf kehidupan masing-masing.
Penternak ikan sangkar

KAMARIAH (kanan) bersama suami, Ayuraziman kini gigih mengusahakan ternakan ikan sangkar.


Perkara itu diakui oleh peminjam. Dalam AIM, peminjam lebih dikenali dengan panggilan Sahabat AIM. Salah seorang daripadanya, Kamariah Udin, 31, kini merupakan seorang penternak ikan dalam sangkar yang berjaya.
Menurut Kamariah, dia mula menyertai AIM sebagai Sahabat pada tahun 2001. Berbekalkan modal yang ditawarkan badan berkenaan, wanita yang pada asalnya hanya seorang suri rumah itu akhirnya memberanikan diri menceburkan diri dalam projek tersebut bersama suaminya, Ayuraziman Tuah, 38, yang bekerja sebagai nelayan.
Menyedari apa yang dilakukan itu memakan modal yang besar, Sahabat dari Pusat Saidatul Syuhada, Pulau Salak, Kuching, Sarawak itu gigih mengusahakan projek tersebut.
“Selain mendapat pembiayaan modal daripada AIM, saya turut mendapat sokongan daripada Jabatan Perikanan Sarawak apabila terpilih menjadi anak angkat dalam projek Lembaga Perikanan Malaysia sekali gus dibekalkan sangkar ikan terpakai.
“Sehingga hujung tahun lalu, saya telah membuat pinjaman ekonomi bersama AIM sebanyak lapan kali dengan jumlah keseluruhan bernilai RM54,900. Selain itu, saya juga turut membuat pinjaman pelbagai melalui skim I-Sejahtera sebanyak enam kali dengan jumlah pembiayaan RM17,000 bagi membeli aset dan memperbaiki sangkar ikan yang rosak.
“Alhamdulillah, jika dahulu pendapatan harian kami sekeluarga sekadar RM30, tetapi kini kami sudah boleh tersenyum dengan jumlah pendapatan yang diraih di antara RM1,000 hingga RM2,000 sehari,” ujar Kamariah yang mempunyai tiga pekerja di kawasan sangkar ikan (40 petak) milik mereka. Pekerja itu dibayar gaji RM2,600 sebulan.
Selain mampu membayar upah pekerja, Kamariah juga telah berjaya memiliki aset tambahan seperti lori satu tan, van dan sebuah rumah besar yang didiami bersama tiga anak mereka.
Antara ikan yang diternak dalam sangkarnya termasuklah siakap, kerapu, merah dan jampung atau dikenali sebagai ikan perencong di Sarawak. Selain itu, pasangan itu turut menternak udang kara.
Di samping menternak ikan, mereka juga bertindak sebagai peraih ikan untuk dijual kepada orang lain dan mempunyai pelanggan tetap iaitu beberapa restoran di sekitar daerah Kuching dan Santubong.
“Saya pernah miskin. Saya ingin melahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada AIM kerana telah banyak membantu kami sekeluarga mengecapi hidup yang lebih sempurna,” tutur Kamariah penuh syukur.
Pemborong ikan berjaya

SAHABAT yang berjaya dalam perniagaan turut diberikan penghargaan oleh pihak AIM sebagai pemangkin semangat.


Bagi Zoriah Tohat, 44, pula, modal pertama berjumlah RM600 daripada Skim Pembiayaan Ikhtiar AIM yang diterima pada tahun 1999 menjadi batu loncatan dalam mengubah taraf kehidupannya.
Berasal dari Kampung Goebilt, Kuching, Sarawak, wanita cekal itu memulakan projek tangkapan ikan secara kecil-kecilan dengan membeli sampan, jaring dan jala. Kerja itu dilakukan bersama suaminya, Sahari Adam, 49.
Selepas sepuluh tahun berlalu, Zoriah yang sebelum ini hanya mengusahakan perniagaan ikan kering secara kecil-kecilan kini merupakan seorang pemborong ikan yang berjaya di daerah berkenaan dengan pinjaman sebanyak RM58,600 daripada AIM bagi pembiayaan ekonomi keluarganya.
Beritahu Zoriah, dia dan suami tidak pernah membuat pinjaman modal dengan institusi perbankan yang lain disebabkan kesukaran untuk mendapat kelulusan daripada pihak bank.
Bagaimanapun, melalui pinjaman pembiayaan AIM, segala urusan dipermudahkan sekali gus dia berpeluang mengubah nasib keluarganya.
Apabila ditanya sebab dia memilih menjadi pemborong ikan, wanita itu pantas menjawab: “Suami saya amat berminat mengusahakan projek ini. Jadi, saya sebagai penyumbang modal menyokong minat suami yang begitu bersungguh-sungguh sehingga berjaya memajukan perniagaan kami ke tahap ini.”
AIM mengiktiraf mereka yang dinaungi, misalnya Zuiyah Talib (kiri) dan Nur Faizah Zolkafli. Masing-masing telah menerima anugerah Sahabat Warga Emas dan Sahabat ke-2,300 dalam sebuah majlis khas.


Selain daripada pelbagai jenis ikan, Zoriah turut memborong udang seperti udang merah dan udang harimau yang kemudian dipasarkan di kilang Seahorse, Bintawa yang merupakan kilang terbesar di Sarawak.
Tidak ketinggalan, dia juga menjual pelbagai tangkapan laut di kawasan rumahnya. Jika sebelum ini, Zoriah dan suami menjalankan projek secara kecil-kecilan, kini mereka berdua mampu membayar upah pekerja yang melebihi sepuluh orang.
Dengan purata pendapatan melebihi RM30,000 sebulan, pasangan itu telah membuktikan bahawa jika ada kemahuan dan usaha yang gigih ditambah pula dengan bantuan kewangan yang disalurkan AIM, apa sahaja impian pasti boleh dikecapi setiap individu.
“Tiada ucapan yang dapat diungkap melainkan rasa bersyukur yang tidak terhingga di atas kemudahan pembiayaan daripada AIM yang berjaya meningkatkan taraf pendapatan keluarga,” kata Zoriah yang kini memiliki aset seperti sebuah lori bernilai RM50,000, kenderaan pelbagai guna (MPV) bernilai RM68,000 dan rumah besar yang menjadi tempat berteduh mereka tujuh beranak.

AIM Bantu Tangani Kemiskinan



AIM juga pernah menerima peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (paling kiri) bagi diagihkan kepada golongan memerlukan. Tiga dari kanan ialah Pengerusi AIM, Datuk Amihamzah Ahmad.


PENGARAH Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Zabidah Ismail berkata, penubuhan badan itu pada 1987 berkait rapat dengan hasrat kerajaan untuk menangani isu-isu kemiskinan yang terdapat di negara ini.
AIM berfungsi mengagihkan modal untuk pinjaman secara kecil-kecilan kepada sahabat bermula dari RM500 hingga RM50,000 bergantung kepada jenis perniagaan yang ingin dijalankan.
"Uniknya kumpulan sasaran bagi modal yang ditawarkan di bawah Skim Pembiayaan Ikhtiar AIM terdiri daripada golongan wanita yang berusia 18 tahun ke atas yang menepati syarat-syarat kelayakan untuk pinjaman.
"Paling penting, pembiayaan ini akan diguna pakai untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga bagi menjamin kehidupan yang lebih selesa kepada mereka," jelas Zabidah sambil memberitahu kakitangan AIM seramai 1,800 orang akan turun padang dalam usaha menjejak golongan yang sepatutnya dibantu.
Hingga kini, dana pinjaman yang telah diagihkan kepada para sahabat AIM berjumlah RM5.6 bilion melalui 99 cawangan AIM di seluruh negara.
"Daripada 280,000 sahabat AIM, 70.3 peratus terdiri daripada kaum Melayu, 17.8 peratus (bumiputera Sabah), 10 peratus (bumiputera Sarawak) dan 3 peratus (India). Mereka termasuklah golongan ibu tunggal atau individu yang mengalami kecacatan fizikal," terang beliau lagi.
Lebih menarik, kadar bayaran balik yang diterima AIM sangat membanggakan dengan catatan 99.5 peratus. Malah, sebanyak 62 cawangan berjaya membuat bayaran balik sebanyak 100 peratus seperti di Terengganu, Kedah dan Kelantan.
Melalui skim pembiayaan itu juga, AIM komited untuk melahirkan 4,000 usahawan wanita sejak 2009 hingga akhir tahun 2012.
"Tetapi, kami sudah boleh berbangga kerana terdapat lebih 3,000 usahawan wanita (Sahabat AIM) dengan pendapatan melebihi empat angka sebulan," kata Zabidah sambil tersenyum tanda puas dengan pencapaian AIM sejak 25 tahun lalu.

Daging Pilihan Masyarakat India


SEORANG pemotong daging sedang melapah kambing di sebuah pasar awam di Mumbai.



MASYARAKAT India kini lebih banyak makan daging berbanding amalan sebelumnya yang kuat mengamalkan budaya vegetarian. Ia sekali gus mengubah satu kepercayaan agama mengenai pemakanan daging lembu selain peningkatan tahap kebersihan dalam industri pemprosesan.
Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, peningkatan masyarakat India yang mengambil daging ialah sebanyak 5 hingga 5.5 kilogram (kg) setahun.
Jumlah itu merupakan perangkaan paling tinggi dan secara tidak langsung menunjukkan perkembangan cita rasa untuk diet yang tinggi protein di negara-negara membangun.
Beberapa pakar menyebut perkembangan ekonomi yang kukuh telah menyebabkan perbelanjaan mewah berlaku.
Salah satu faktor penyumbang adalah kemudahan pengangkutan yang lebih baik telah membantu meningkatkan peluang masyarakatnya ke pasar raya dan restoran.
"Masyarakat India semakin melupakan segala perasaan yang mengongkong diri dan mereka kini lebih berani mencuba.
"Daging kerbau dan stik daging khinzir merupakan makanan kegemaran pelanggan di sini," kata Jaydeep Mukherjee, Ketua Eksekutif Indigo Delicatessen, iaitu restoran makanan barat yang paling popular di Mumbai.
Restoran makanan barat itu yang sangat terkenal dengan menunya, sandwic Reuben bersama pastrami, kini sedang mencari pembekal burung kuang, puyuh dan itik untuk restorannya di pusat beli-belah Phoenix Mills dan di selatan Mumbai.
"Penggunaan daging yang sebelum ini bergantung kepada kawalan agama semakin meningkat mendadak gara-gara sikap masyarakat yang lebih liberal dan pengaruh Barat," tambah Pengarah Pengurusan rangkaian makanan gourmet Nature's Basket, Mohit Khattar.
Bukan makanan mewah
Bagi Khattar, menu bukan vegetarian bukan lagi dianggap makanan mewah. Pada masa yang sama, proses pengeluaran daging tempatan telah menjadi lebih bersih sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna.
Jumlah jualan barangan bukan vegetarian di Nature's Basket's adalah sebanyak AS$13.3 juta (RM39.6 juta) pada laporan kewangan menunjukkan peningkatan sebanyak 64 peratus berbanding tahun lalu.
Di pasar raya pusat beli-belah milik syarikat konglomerat Godrej, daging khinzir import seperti ham salai, bakon dan bahagian daging lain menjadi item paling laris.
Berdasarkan fakta Pertubuhan Pemakanan dan Pertanian (FAO), India menghasilkan 10.6 juta tan daging dan ikan setahun namun negara itu masih kekal sebagai negara yang berpegang kuat dengan pemakanan sayur-sayuran.
PENGGUNAAN per kapita daging ayam mentah telah meningkat dua kali ganda di India sejak tahun lalu.


Tiada sebarang angka rasmi kerajaan membabitkan jumlah golongan vegetarian. Namun, pada tahun 2006, akhbar The Hindu telah menjalankan satu kaji selidik di seluruh negara dan mendapati bahawa 40 peratus penduduk negara itu menggunakan produk tenusu dan telur tanpa menyertakan daging. Ia merupakan angka yang tertinggi di dunia.
Haiwan suci
Pemakan daging terutama daging lembu masih tidak dapat diterima oleh majoriti penduduk Hindu yang menganggap lembu sebagai haiwan suci. Penyembelihan untuk dimakan juga menjadi larangan di kebanyakan daerah India di bawah satu undang-undang yang ketat.
Pengusaha makanan segera McDonalds tidak menjual burger daging lembu di India dan sesetengah persatuan penduduk turut mengharamkan orang yang memakan daging lembu daripada membeli atau menyewa hartanah.
Sementara itu, kumpulan agama kedua terbesar di India iaitu komuniti Muslim pula menjauhi produk-produk berasaskan daging khinzir.
Mengikut kajian, makanan laut dan ayam masih popular dalam kalangan semua kumpulan agama.
Berdasarkan maklumat Institut Kajian Polisi Pemakanan dan Pertanian yang berpangkalan di Amerika Syarikat, penggunaan per kapita daging ayam mentah telah meningkat dua kali ganda di India kepada 2.26kg setahun pada 2010 dari 1.08kg pada sedekad lalu.
Pengalaman berbeza
Peningkatan permintaan untuk daging terjadi kerana wujudnya segolongan penganut Hindu seperti Ajoy Mukhopadhayay, 39, yang sangat menyukai kari daging lembu apabila keluar makan.
"Tidak seperti kebab, terdapat lebih banyak kandungan daging dalam daging lembu. Saya sukakan daging panggang. Ia sangat enak dan manis dimakan.
"Makan daging memberi pengalaman berbeza kini berbanding dahulu. Ia tidak pernah disenarai dalam kebanyakan menu tapi kita tahu di mana untuk mendapatkannya," kata animator dari firma perisian di timur bandar Kolkata itu.
Berdasarkan fakta terkini FAO dari tahun 2007, kadar penggunaan daging per kapita India bagaimanapun masih rendah daripada jumlah purata di Asia iaitu sebanyak 27kg berbanding negara-negara dunia yang mengambil 38kg.
"Jumlah purata pengambilan daging per kapita dijangka terus meningkat di India dan negara-negara lain pada masa akan datang," kata jurucakap FAO Asia Pasifik, Diderik De Vleeschauwer.