Wednesday, 21 September 2011

Ingat Hayati Sejarah Negara


TANGGAL 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kepada seluruh rakyat di negara ini kerana negara mencapai kemerdekaan.
Meskipun sudah 54 tahun berlalu, setiap kali tiba tarikh 31 Ogos pastinya disambut dan diraikan dengan penuh meriah.
Mungkin ramai generasi muda kini yang tidak tahu betapa besar pengorbanan yang dilakukan oleh rakyat khususnya pejuang terdahulu untuk mendapatkan kemerdekaan.
Bagi Wan Ahmad Hazman Wan Daud, 22, meskipun tidak pernah berjuang untuk memperoleh kemerdekaan, dia tetap bersyukur dengan kebebasan yang dinikmati negara kini.
Menurutnya, tidak seperti sesetengah negara yang masih berperang, bergolak dan huru- hara, rakyat negara ini sebaliknya dapat hidup dengan aman damai.
"Meskipun masyarakat di negara ini berbilang kaum, kita dapat hidup bersatu-padu tanpa sebarang persengketaan.
"Inilah yang harus kita pelihara kerana apa gunanya kemerdekaan sekiranya rakyatnya hidup berpecah-belah," katanya.
Wan Ahmad Hazman yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Geo Informasi dan Harta Tanah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai juga berharap supaya generasi muda tidak mudah melupai sejarah terdahulu.
Katanya, dengan mengingati dan menghayati sejarah negara, rakyat akan tahu asal usul mereka dan semangat cintakan tanah air tidak akan luput.

No comments:

Post a Comment