Wednesday, 21 September 2011

Solat Berjemaah Rahsia Kejayaan Andy



ANDI Muhd. Arissyahban (tengah) bersama bapanya, Andi Mohd. Ariffin Mappiare (kanan) dan abangnya, Andi Mohd. Arisban melihat Anugerah Kecemerlangan Sultan Ahmad Shah selepas majlis konvokesyen Kipsas di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 20 Sept. - Amalan solat berjemaah selain kesungguhan dalam mengulangkaji pelajaran menjadi rahsia kejayaan penerima Anugerah Kecemerlangan Sultan Ahmad Shah, Andi Muhd. Arissyahban Andi Mohd. Ariffin, 21.
Andi yang merupakan penuntut Diploma Dakwah Pengurusan, Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kipsas) di sini yang berasal dari Sabah itu menerima anugerah tersebut sempena majlis konvokesyen ke-10 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, kelmarin.
Katanya, kesungguhan dan usaha perlu diseimbangkan dengan amalan solat yang menjadi kunci kehidupan bagi seorang muslim.
Tambahnya, kerjasama dan kesungguhan para pensyarah yang berpengalaman dalam bidang masing-masing turut membantunya cemerlang dalam pengajian itu.
"Selepas ini, saya akan berlepas ke Aceh, Indonesia pada 21 September ini untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah di Institut Agama Islam Negeri al-Rariry selama setahun setengah," katanya kepada pemberita di sini.
Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bersama Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom berkenan mencemar duli menghadiri majlis tersebut.
Ditanya bagaimana dia mengetahui kolej itu, Andi memberitahu, dia mendapat maklumat daripada rakan-rakannya yang menyambung pengajian di kolej tersebut.
"Saya bersyukur dengan kejayaan di sini dan keputusan memilih Kipsas adalah tepat," katanya.

No comments:

Post a Comment