Wednesday, 21 September 2011

UTM-MIT Bangunkan Program Blossoms



PROF. Richard Larson (tengah) menerangkan program Blossoms sambil diperhatikan oleh Prof Dr. Baharuddin Aris (kanan) di UTM Skudai, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 20 Sept. - Bagi menarik lebih ramai pelajar menceburi bidang sains dan matematik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Institut Teknologi Massachusetts (MIT) bakal membangunkan program dikenali sebagai Gabungan Pembelajaran Sains atau Matematik (Blossoms).
Program itu diyakini mampu membantu kerajaan menjadikan pendidikan kedua-dua subjek itu lebih inovatif dan menarik, sekali gus menarik lebih ramai meminatinya.
Tanpa mahu mendedahkan dengan terperinci program itu, Pengarah Pusat Pembelajaran dan Pengajaran UTM, Prof. Dr. Baharuddin Aris berkata, perkara tersebut sedang diusahakan dan setakat ini ia menunjukkan tanda positif.
Menurutnya, itu akan diketuai oleh Pengasas yang juga Pengarah Pusat Asas Sistem Kejuruteraan dan Konsortium Rangkaian Pembelajaran Antarabangsa (LINC) MIT, Prof. Richard Larson sebagai penyelidik utama Blossoms.
"MIT merupakan sebuah universiti terkemuka di dunia dan paling ke hadapan dalam bidang teknologi. Institusi pendidikan ini akan bekerjasama dengan UTM untuk membangunkan pusat Blossoms di UTM.
"Kami akan kemukakan cadangan kepada kerajaan bagi mewujudkan program yang mampu menarik minat pelajar untuk memilih mata pelajaran Sains dan Matematik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah Larson mengenai Blossoms di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Larson berkata, visi Blossoms untuk membangunkan modul video dalam skala besar bagi pendidikan sains dan Matematik yang dicipta oleh guru sukarelawan berbakat dari seluruh dunia bermula daripada tenaga pengajar MIT.
"Tujuannya untuk menawarkan perspektif yang berbeza selain melakukan perbincangan bagi merangsang pembangunan kemahiran pemikiran, kreatif dan kritikal," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Zaini Ujang dalam satu kenyataan memberitahu, bagi menjayakan program tersebut, UTM dan MIT sedang berbincang untuk mengadakan kem musim panas di MIT pada tahun depan dan UTM selepas itu.
Beliau berkata, UTM dan MIT juga akan mengadakan kerjasama penyelidikan melibatkan penghantaran 10 staf akademik UTM untuk mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah dan pasca kedoktoran di MIT.

No comments:

Post a Comment