POTENSI...Mehmet bersama barisan produk keluaran FIGS di Turki.
KUMPULAN Felda Global (Felda Global Group) menerusi unit perniagaannya di Turki, Felda Iffco Gida Saneyi (FIGS) akan menambah pelaburan kira-kira RM64 juta bagi membina kemudahan penapisan dan pembungkusan produk lemak berasaskan minyak sawit di kilang penapisannya di Izmir, Turki.Melalui pelaburan baru itu, syarikat menyasarkan untuk menjadi pengeluar kedua terbesar produk berasaskan lemak di negara itu menjelang 2016.
Ketua Pegawai Eksekutif FIGS, Mehmet Sahin berkata, kilang itu kini berupaya menapis serta membungkus produk minyak bunga matahari dan jagung dengan kapasiti 150,000 tan setahun dan apabila kemudahan itu siap menjelang awal tahun depan, kapasiti pengeluaran akan meningkat sehingga 300,000 tan.
Beliau berkata, FIGS akan mengeluarkan produk lemak minyak sawit untuk industri dan makanan terutama dalam bidang pembuatan kek serta pastri seperti marjerin untuk pasaran negara ini dan serantau.
“Ketika ini, syarikat menghasilkan empat jenama minyak masak iaitu Filza, Sunny, Alfa dan IFFCO yang turut dieksport ke negara berhampiran termasuk Asia Tengah. Penghasilan produk berasaskan lemak ini, membezakan syarikat ini dengan pesaing dalam industri di sini,” katanya kepada rombongan media Malaysia ke kilang FIGS di Izmir di Turki, baru-baru ini.
FIGS adalah anak syarikat Felda Iffco Sdn Bhd, iaitu syarikat usaha sama antara Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd dan Iffco Group yang beribu pejabat di Arab Saudi.
Selain Turki, Iffco turut mempunyai cawangan di pelbagai negara antaranya Amerika Syarikat, Kanada, Australia, China, Pakistan, Afrika Selatan, Sri Lanka, Indonesia dan Asia Barat. Felda Global Ventures adalah pengeluar minyak sawit mentah terbesar dunia manakala Iffco adalah peneraju pengeluar makanan di 84 negara termasuk Eropah, Australia, Asia Barat dan Amerika Syarikat.
Melalui pelaburan di Turki, Kumpulan Felda Global berjaya melebarkan sayap dengan memasuki pasaran Eropah dan kawasan sekitar.

No comments:
Post a Comment