Wednesday, 21 September 2011

RM 5 Juta Pinjaman Pendidikan Kepada 525 Pelajar



Zambry Abd. Kadir menyampaikan pinjaman pengajian tinggi kepada Noor Azreen Abdul Aziz pada majlis Penyerahan Cek Pinjaman Pengajian Tinggi Perak di Ipoh, semalam.


IPOH 20 Sept. - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta pada tahun ini untuk pinjaman pelajaran kepada 525 anak negeri ini yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pinjaman itu membabitkan RM5,000 setahun bagi pelajar diploma, sarjana muda sains (RM6,500), sarjana muda sastera (RM6,000), sarjana (RM10,000) dan doktor falsafah Phd) RM15,000 setahun.
"Pinjaman ini diberikan kepada pelajar yang pendapatan ibu bapa mereka RM1,500 sebulan," katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Cek Pinjaman Pengajian Tinggi Perak Sesi 2011/2012 di Dewan Banquet di sini hari ini.
Menurut beliau, pinjaman berkenaan akan ditukar kepada biasiswa jika pelajar mendapat kelulusan cemerlang selepas menamatkan pengajian mereka.
Beliau juga meminta pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dan mendapat bekerja supaya membayar balik pinjaman berkenaan supaya peluang itu juga dapat diberikan kepada pelajar lain.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Mohd. Zahir Abdul Khalid berkata, sebanyak RM84 juta diperuntukkan kerajaan kepada 9,000 pelajar yang melanjutkan pelajaran sejak 1973.
Pada tahun lalu, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi pinjaman tersebut.
Dalam pada itu katanya, sebanyak 11,007 peminjam belum menjelaskan lagi pinjaman itu yang jumlah tertunggaknya kini mencecah RM25 juta.
"Setakat ini, sebanyak RM1.2 juta bayaran pinjaman telah dikutip sehingga Ogos lalu," katanya.

No comments:

Post a Comment