Tuesday, 20 September 2011

Ibu Rungkaikan Persoalan Intim


PERNAHKAH anda sebagai ibu berbicara dengan anak-anak mengenai persoalan yang sering menghantui pemikiran jiwa remaja mereka - kemahuan seks, perhubungan intim dan perubahan fizikal?
Persoalan ini akan timbul sebaik sahaja anak remaja perempuan mengalami haid yang pertama dan lelaki pula 'akil baligh' dengan keadaan mereka yang tersendiri.
Sebenarnya, ibu bapa yang berfikiran terbuka pun menghadapi masalah membincangkan topik ini. Terutamanya apabila melibatkan isu hubungan intim bersama anak-anak remaja mereka.
Apa yang mahu dibincangkan itu seringkali berhadapan dengan kesukaran tentang bagaimana dan di mana untuk memulakannya. Ibu atau bapa akan berhadapan dengan dilema untuk mengungkapkan kata-kata yang sesuai supaya anak-anak remaja mereka tahu mengenai isu seks dan hubungan intim.
Menurut Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. Premitha Damodaran, perubahan seorang kanak-kanak perempuan menjadi wanita adalah perkara yang amat menakjubkan.
"Sekiranya kanak-kanak perempuan itu tidak mengetahui atau tidak menyedari apakah persediaan yang patut dilakukan bagi menghadapi perubahan fizikal dan hormon yang sedang berlaku, terutamanya selepas mereka didatangi haid, ia akan menjadikan mereka keliru.
"Bermulanya menjadi seorang gadis, langkah pertama yang perlu mereka fahami ialah perubahan hormon yang akan dilalui apabila mereka mendapat haid yang pertama di sebalik perkembangan fizikal yang semakin menonjol," jelasnya ketika membentangkan kertas kerjaKetahui Tubuh Anda pada bengkel Istimewa Ibu dan Anak yang dianjurkan Bayer HealthCare, baru-baru ini.
Pada bengkel itu, para peserta bukan sahaja memperoleh maklumat berguna mengenai kesihatan reproduktif malah membincangkan sejujurnya mengenai pentingnya wanita itu menjaga kesihatan diri mereka.
Bagaimanapun, tambah Dr. Premitha lagi, penekanan terhadap pendidikan berterusan serta persoalan mengenai isu seks dan perubahan fizikal hidup seorang gadis itu sepatutnya tidak terhenti setakat itu sahaja.
"Anak perempuan anda sekarang atau tidak lama lagi akan menjadi seorang gadis remaja yang mana biologinya tidak lagi seperti kanak-kanak.
"Adalah penting bagi mereka melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan mengenai kesihatan reproduktif dan seks yang selamat dengan penggunaan alat pencegah kehamilan.
"Apabila dimatangkan dengan pelbagai maklumat, mereka boleh memahami dan dapat menimbang tara sebarang implikasi dalam tindakan serta bijak memilih dalam bertindak melindungi diri sendiri daripada sebarang perkara yang tidak diingini," jelasnya.
Namun, mengetahui budaya orang-orang Asia yang agak konservatif dalam membicarakan persoalan yang melibatkan isu intim, perubahan hormon dan sebagainya, menyebabkan seorang ibu itu buntu untuk memecahkan persoalan yang melibatkan tabu terutamanya isu seks serta tidak selesa untuk membicarakannya bersama anak-anak remaja mereka.
Itu yang cuba dijelaskan oleh Perunding Psikologi Klinikal dan merupakan seorang pensyarah di Universiti Monash, Kampus Sunway, Dr. Paul Jambunathan yang turut menegaskan betapa pentingnya ikatan antara ibu dan anak bagi membolehkan mereka berkomunikasi mengenai seks, perubahan fizikal dan kesuburan secara bebas.
"Komunikasi perlulah dilakukan secara terbuka dan ibu seharusnya menjadi sumber yang terbaik kepada anak-anak perempuan mereka untuk menyampaikan maklumat dan pengajaran mengenai seks dan kesihatan reproduktif, termasuk alat merancang keluarga atau pil kontraseptif.
"Anak-anak perempuan perlu tahu bahawa mereka boleh bergantung harap dengan ibu mereka dalam apa jua keadaan dan ikatan istimewa yang saling faham-memahami ini perlu dipupuk sejak awal usia lagi," jelasnya pada sesi Merungkai Misteri Ibu-Anak pada bengkel yang sama.
Jelas Dr. Paul, tekanan emosi dan fizikal akibat kehamilan yang tidak dirancang contohnya, pasti akan mengundang pelbagai implikasi kepada golongan remaja.
Sudah tentu kesannya pada remaja yang pastinya ingin mencuba sesuatu yang dianggap 'baru' dalam kehidupan mereka terutamanya melakukan hubungan seks tanpa berfikir apa yang akan terjadi selepas itu.
Katanya, dalam apa jua keadaan, pengetahuan adalah cara yang terbaik bagi 'menjaga' anak-anak perempuan dari sebarang insiden yang tidak diingini.
"Dengan ilmu jugalah dapat memperkasakan mereka agar golongan ini lebih bersedia, bertanggungjawab dan pandai membuat 'pilihan' dalam kehidupan agar tidak tersasar dan memudaratkan," katanya.

No comments:

Post a Comment